Perodua kurangkan masa menunggu

Pelanggan hanya perlu menanti Aruz satu hingga satu setengah bulan bergantung kepada model


PERODUA mengekalkan sasaran jualan sebanyak 235,000 unit menjelang akhir tahun ini.
PERODUA mengekalkan sasaran jualan sebanyak 235,000 unit menjelang akhir tahun ini.
A
A
A

BAGI memenuhi permintaan pelanggan, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) berjaya mengurangkan masa menunggu model kenderaan utiliti sukan baharunya, Aruz.

Pelanggan hanya perlu menanti antara satu hingga satu setengah bulan bergantung kepada model. Ia berbeza berbanding kira-kira antara dua bulan hingga dua setengah bulan masa menunggu sebelumnya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad, disebabkan peningkatan pengeluaran, Perodua menganggarkan pencapaian jualan Januari hingga Julai mencecah 140,900 unit untuk semua model. Jumlah itu setanding dengan pengeluaran mengikut tempoh yang sama tahun lepas.

Katanya sebanyak 17,989 unit Aruz telah berjaya terjual antara Januari hingga Julai tahun ini.

"Dari sudut perbandingan, bulan Jun, Julai dan Ogos tahun lalu menyaksikan 'cuti cukai' yang terhasil daripada keputusan penghapusan cukai barang dan perkhidmatan (GST) oleh kerajaan.

"Meskipun begitu, kami sangat beruntung kerana prestasi syarikat kami jauh lebih baik jika dibandingkan dengan kesan semasa cuti cukai," katanya dalam satu kenyataan akhbar baru-baru ini.

Pada 17 Julai, Perodua telah mengumumkan bahawa ia akan meningkatkan sasaran jualannya kepada 235,000 unit untuk 2019. Peningkatan itu lebih 4,000 daripada sasarannya 231,000 yang diumumkan pada Januari lalu.

Jumlah sasaran pengeluaran untuk 2019 telah ditingkatkan kepada 249,000 unit, penambahan 2.9 peratus daripada sasaran sebelumnya iaitu sebanyak 242,000 unit.

Artikel Berkaitan: