RM3.5 juta naik taraf masjid, surau di Johor

Aminolhuda Hassan
Aminolhuda Hassan
A
A
A

TANGKAK - Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) telah mengagihkan peruntukkan sebanyak RM3.5 juta bagi menaik taraf kemudahan serta membina bangunan baharu masjid dan surau di seluruh negeri Johor pada tahun ini.

Pengerusi Exco Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan berkata sebanyak RM1.5 juta telah disalurkan untuk 24 masjid dan baki RM2 juta lagi kepada 48 surau.

Beliau berkata, dana tersebut diperoleh menerusi Tabung Pembangunan Masjid dan Amal Jariah Johor (TPMDAJJ) hasil derma daripada orang ramai, syarikat korporat, dan individu persendirian.

"Sehingga November lepas sebanyak RM5.25 juta berjaya dikumpul melebihi sasaran kutipan tahun ini iaitu RM5 juta dan kami berharap jumlah ini akan terus meningkat pada tahun seterusnya bagi membantu masjid dan surau menambah baik fasiliti dan menjalankan program keagamaan.

"Melalui tabung khas ini juga ia berperanan untuk membantu kerajaan negeri mencari dana seterusnya membiayai peruntukan baik pulih dan bina masjid serta surau baharu terutamanya bagi kawasan luar bandar dan pendalaman yang kekurangan sumber kewangan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Aplikasi Boost E-Wallet TPMDAJJ di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak di sini, hari ini.

Turut hadir sama, Pengarah JAINJ, Md Rofiki A Shamsuddin, Pengurus Kewangan dan Operasi Axiata Digital Service Sdn Bhd, Mohd Haaziq Mohd Zahar.

Aminolhuda berkata tabung digital itu merupakan pendekatan baharu di samping memperkasa kutipan dana dalam kalangan masyarakat untuk menderma dan menginfaqkan harta dengan cara lebih mudah.

Katanya, aplikasi Boost E-Wallet itu dibangunkan secara percuma oleh Axiata Digital Service Sdn Bhd dan boleh dimuat turun dalam carian google play dan apps store dengan menguna pakai sistem Quick Response (QR) Code untuk menderma dengan nilai serendah RM2.

Artikel Berkaitan:

"Menerusi aplikasi ini juga ia menyediakan wadah amal jariah yang sistematik kepada masyarakat Islam di Johor khasnya untuk bersama-sama membantu membangunkan surau dan masjid bagi memberi lebih kemudahan dan keselesaan kepada jemaah," katanya.- Bernama