Rahsia hidup 100 tahun

Salleh bersama kek digubah dengan nombor 100 yang menjadi simbolik umurnya yang telah mencecah satu abad.
Salleh bersama kek digubah dengan nombor 100 yang menjadi simbolik umurnya yang telah mencecah satu abad.
A
A
A

ALOR SETAR - Amalan hidup sihat seperti bersenam sejak usia muda menjadi petua kepada Salleh Said yang telah menyambut hari jadinya ke-100 pada 31 julai baru-baru.

Bapa kepada 11 anak, 51 cucu dan 68 cicit ini berkata, setiap pagi dia akan melakukan senaman ringkas untuk mengekalkan kesihatan yang baik.

Menurutnya, antara amalan lain yang dibuat sehingga kini adalah berjalan setempat bagi membantu proses penghadaman selepas makan dan minum segelas ais kosong selepas bangun pagi.

"Masa mandi pula, jirus air mula dari kaki dulu baru naik ke kepala. Jangan jirus mula dari kepala.

"Masa makan pula jangan campur dan makan sekali makanan lauk macam ayam, daging dengan lauk makanan laut seperti sotong dan ikan. Lagi satu lepas makan jangan terus tidur," katanya kepada Sinar Harian selepas ditemui di kediamannya di Kampung Sungai Korok, Telaga Batu, dekat sini semalam.

Lebih 500 penduduk hadir sempena kenduri kesyukuran menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-100 termasuk lebih 100 anak, cucu dan cicit.

Salleh (duduk tengah) bergambar bersama anak, cucu dan cicitnya selepas majlis kesyukuran di Kampung Sungai Korok, Telaga Batu, dekat sini.
Salleh (duduk tengah) bergambar bersama anak, cucu dan cicitnya selepas majlis kesyukuran di Kampung Sungai Korok, Telaga Batu, dekat sini.

Bacaan doa selamat juga disempurnakan oleh cucunya, Rosmizal Abdullah sebelum memotong kek yang digubah sendiri dengan angka 100 oleh anak bongsu Salleh, Mohd Soffian, 46.

Artikel Berkaitan:

Mohd soffian ketika ditemui berkata, kenduri tersebut diadakan bertujuan untuk menghimpunkan seluruh keturunan bapanya dan pada waktu sama meraikan kelahiran bapa yang telah mencecah usia satu abad.

"Alhamdulillah lebih 90 peratus anak, cucu dan cicit Haji Salleh dapat balik dan berkumpul pada majlis ini bagi mengeratkan lagi silaturahim di antara satu sama lain," katanya.

Sementara itu, anak kelapan Salleh, Azizah, 54, pula berkata, bapanya pernah diserang minor stroke di bahagian sebelah kanan badan pada 2017 namun pulih tidak sampai setahun kemudian.

"Bapa adalah seorang yang bersemangat tinggi dan semasa mendapatkan rawatan, dia patuh pada segala arahan doktor dan disebabkan disiplin tinggi, Alhamdulillah kembali pulih," katanya.

Salleh menunjukkan kad pengenalannya.
Salleh menunjukkan kad pengenalannya.

Salleh berkahwin dengan Saudah Ismail pada tahun 1948 dan dikurniakan tiga anak lelaki, lapan perempuan sebelum isterinya itu meninggal di usia 74 tahun pada tahun 2008.

Selepas itu, dia berkahwin dengan Jamaliah Ibrahim pada tahun 2008 dan isteri keduanya pula meninggal pada tahun 2016 di usia 72 tahun.

Salleh pada usia mudanya melakukan pelbagai kerja antaranya menanam padi, meniaga dan menjual ikan di Pekan Sungai Korok dan mengambil upah membuat laksa kebok.