Mengalah di jalan raya bukan bererti lemah

Rakaman dari video insiden yang tular di media sosial.
Rakaman dari video insiden yang tular di media sosial.
A
A
A

SETIAP kali musim perayaan, seringkali kita dihidangkan dengan berita kemalangan jalan raya hingga mengorbankan nyawa.

Namun, kes yang melibatkan seorang pemandu kereta Perodua Axia, Syed Muhammad Danial Syed Syakir, 29, yang meninggal dunia akibat menjadi mangsa perselisihan faham dengan seorang pemandu kereta Toyota Innova ternyata begitu mengejutkan.

Tragedi berlaku di Kilometer 293.5 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran susur Bandar Baru Bangi pada Sabtu lalu sehari sebelum umat Islam menyambut raya korban.

Suspek, seorang lelaki berusia 40 tahun dan isterinya berusia 36 tahun ditahan selepas dipercayai melanggar mangsa hingga menghimpitnya ke besi pembahagi jalan akibat panik dengan perbuatan mangsa yang membawa kayu besbol memukul depan kereta suspek.

Kita tidak berada di lokasi, maka kita tidak tahu apa yang berlaku daripada awal. Oleh itu tidak wajar untuk kita membuat sebarang spekulasi kerana ia akan memburukkan lagi keadaan.

Malah mengaitkannya dengan isu perkauman adalah satu tindakan yang sangat tidak wajar tatkala negara kita mengutamakan agenda perpaduan.

Biarlah polis menjalankan tugas mereka kerana dalam soal seperti ini, pihak berkuasa paling layak untuk memastikan keadilan kepada semua.

Apa yang perlu kita ingat sebagai pengguna jalan raya ialah banyakkan bersabar dalam pemanduan.

Artikel Berkaitan:

Jika terasa panas, kuatkan lagi pendingin hawa kereta ataupun dengar lagu-lagu yang mendamaikan.

Jika ada pemandu yang mahu tunjuk samseng, cari pasal hatta dengan bangganya menunjukkan isyarat lucah kepada kita, janganlah kita turut sama menjadi pemandu samseng seperti mereka.

Pemandu samseng ini selalunya mempunyai masalah mental dan hanya mahukan perhatian. Kita sebagai pemandu berhemah tidak perlu layan perangai mereka yang tidak berapa cerdik itu.

Keadaan akan menjadi tegang apabila kedua-duanya mahu tunjuk siapa lebih hebat.

Maka, sebagai pemandu berhemah biarlah kita mengalah walaupun pada waktu itu kita nampak lemah.

Apa yang penting, sekiranya berlaku kemalangan, buat laporan polis. Biar insurans menyelesaikannya.

Tidak perlu buang masa bergaduh atau bertekak kerana tidak memberi apa-apa keuntungan pun.