Warga emas ditikam gara-gara tegur potong giliran

Amran Sidek
A
A

KUANTAN - Seorang warga emas cedera ditikam oleh seorang lelaki kurang siuman di Kedai Eco bandar Pekan, kira-kira jam 12.05 tengahari tadi.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Amran Sidek berkata, mangsa, Abdul Karim Mohd Alias, 67, ditikam dengan pisau ketika beratur di kaunter pembayaran di kedai itu.

Menurutnya, kejadian berpunca selepas mangsa menegur suspek berusia 53 tahun itu memotong giliran untuk membuat pembayaran.

"Tidak berpuas hati dengan teguran itu, suspek terus mencederakan mangsa dengan pisau yang diambil di kedai tersebut dan mencederakan lehernya.

"Suspek kemudian terus melarikan diri dari kedai itu," katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Amran berkata, anggota polis bertugas berjaya mengesan suspek di belakang Bank Islam di Jalan Bandar Pekan dengan memegang sebilah pisau di tangannya.

Jelasnya, anggota tersebut berjaya memujuk suspek untuk menyerahkan pisaunya dan menahan lelaki berkenaan sebelum dibawa ke Balai Polis Pekan untuk tindakan selanjutnya.

"Mangsa kini berada di wad kecemasan Hospital Pekan dan masih menerima rawatan oleh pegawai perubatan hospital," katanya.

Selain itu, beliau memberitahu, suspek dipercayai seorang kurang siuman dan mempunyai rekod perubatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.