Tanah di Banjaran 15 Kempas disita

Operasi pemadaman api dilakukan pihak yang berkenaan di kawasan tersebut. (Gambar kecil: Chen Choon)
Operasi pemadaman api dilakukan pihak yang berkenaan di kawasan tersebut. (Gambar kecil: Chen Choon)
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tindakan penyitaan tanah di kawasan Banjaran 15, Kempas yang kini dijadikan tapak pelupusan sampah haram serta terbabit dengan insiden pembakaran terbuka sejak beberapa hari lalu telah diambil.

Exco Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar, Tan Chen Choon berkata, tindakan penyitaan itu dibuat kerana didapati berlakunya pelanggaran syarat tanah di bawah kuasa Seksyen 129 Kanun Tanah Negara 1965 kepada pemilik-pemilik tanah yang terlibat.

“Berikutan insiden ini (kebakaran terbuka) Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor Bahru telah menghantar notis borang 7B kepada pemilik tanah yang mana membabitkan tindakan penyitaan.

“Notis ini juga dikeluarkan akibat daripada kegagalan kesemua pemilik tanah untuk mematuhi peraturan notis borang 7A dalam tempoh masa yang diberi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, keadaan pembakaran terbuka yang berlaku di kawasan berkenaan juga sudah berjaya ditangani dengan sebaiknya.

“Saya juga ingin memaklumkan beberapa perkembangan terbaru berhubung kes ini, dilaporkan sehingga kini api bawah tanah di kawasan itu juga sudah berjaya dikawal oleh pihak bomba.

“Untuk itu, saya ingin mengucapkan terima kasih atas jasa Majlis Bandaraya Johor Bahru, Jabatan Alam Sekitar, bomba, Syarikat Air Johor, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor Bahru, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Jabatan Kerja Raya kerana bertindak pantas dan cekap serta berjaya menangani kes ini dalam tempoh kurang daripada dua minggu,” katanya.

Pada Khamis lalu, Kerajaan Johor memaklumkan pihaknya sudah mengenal pasti pemilik tanah yang bertindak menjadikan lokasi itu sebagai tapak pelupusan sampah haram.

Artikel Berkaitan: