Kenaikan yuran asrama UiTM tidak membebankan: Alumni

- Foto sumber internet
- Foto sumber internet
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kenaikan caj bayaran kolej kediaman kepada pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) dianggap relevan dan tidak membebankan, kata Presiden Persatuan Alumni UiTM (PAUiTM), Datuk Zaini Hassan.

Menurutnya, kenaikan itu satu keperluan memandangkan peruntukan kerajaan terhadap UiTM dikurangkan dan peningkatan caj bayaran kolej kediaman tersebut diperlukan untuk menampung kos operasi institusi pendidikan tinggi awam itu (IPTA).

“Yuran kolej kediaman itu naik dalam kadar yang minimum iaitu RM4 sehari untuk bilik berdua, RM3 untuk bilik bertiga manakala bagi bilik empat orang ke atas cuma RM2 sehari.

“Duit itu akan digunakan untuk pelajar UiTM bagi menyediakan kelengkapan asrama, malah ia juga akan dimanfaatkan untuk naik taraf kemudahan asrama. Maksudnya kos yuran itu dapat menampung infrastruktur kolej kediaman bagi kemudahan pelajar,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Zaini berkata, pelajar daripada golongan B40 dan aktif tidak akan dikenakan yuran kolej kediaman.

“Kenaikan yuran kolej kediaman ini juga relevan kerana kali terakhir kos ini dinaikkan pada 1973, lepas itu tak pernah naik lagi.

“Malah kalau pelajar itu datang daripada keluarga berada dan sederhana juga tidak dikenakan yuran. Lagipun UiTM adalah IPTA yang mengenakan yuran paling rendah,” katanya.

Selain itu katanya, kenaikan yuran kolej kediaman itu juga tidak membebankan.

Artikel Berkaitan:

“Alumni sokong kenaikan ini kerana ia memberi faedah kepada pelajar UiTM juga,” katanya.

Baru-baru ini, UiTM mengeluarkan pekeliling berhubung caj bayaran kolej kediaman kepada pelajar pra diploma, diploma, Certified Accounting Technicians (CAT) (AC150) dan Sarjana Muda Sains (Kepujian) Senibina (AP243) yang disediakan tempat tinggal dalam kampus akan dikenakan caj bayaran penginapan dalam kampus mulai September 2019 hingga Januari 2020.

Bagi satu semester, bilik berdua RM420 seorang iaitu kadar RM4 sehari, bilik bertiga RM315 kadar RM3 sehari dan bilik berempat dan ke atas RM210 kadar RM2 sehari.