Dora And The Lost City Of Gold berjaya realisasi animasi ke realiti

A
A

BAGI mereka yang membesar pada tahun 2000 dan seterusnya, siri animasi terbitan Nickelodeon Animation Studio, Dora The Explorer barangkali tidak asing lagi.

Penonton dihidangkan dengan kisah seorang kanak-kanak bernama Dora, yang gemar mengembara sambil ditemani monyet pintar kesayangannya, Boots (yang dinamakan sempena kasut boots merah kegemarannya) dan diganggu pula dengan seekor musang jahat bernama Swiper.

Kini setelah hampir 20 tahun penerbitannya di kaca TV, watak Dora diangkat ke layar lebar dan lebih istimewa telah diterjemahkan secara realiti menerusi Dora and the Lost City of Gold.

Bezanya kali ini, tidak ada lagi watak Dora sebagai kanak-kanak, sebaliknya Paramount Players bersama Nickelodeon Movies selaku penerbit dan produksi membawakan kisah Dora yang sudah meningkat remaja.

Watak tersebut dijayakan oleh pelakon baharu, Isabela Moner, yang juga pernah membintangi filem hebat seperti Transformers: The Last Knight (2017), Sicario: Day of the Soldado (2018) dan Instant Family (2018).

Apa yang menarik adalah usaha pihak produksi untuk memastikan Moner kelihatan tidak jauh berbeza dengan watak Dora versi animasi, yang berbeza hanyalah dia sudah dewasa dan semakin pintar.

Namun dari raut wajah, potongan rambut, pakaian dan cara percakapan, boleh dikatakan hampir sama.

Dari segi lakonan pula, Moner telah berjaya menarik perhatian penonton untuk membawa watak Dora dengan cukup berkesan, ditambah pula dengan raut wajah comel dan cara percakapan yang hampir sama.

Dibantu pula dengan kehadiran pelakon lain seperti Jeff Wahlberg sebagai Diego, sepupu Dora yang juga telah menjadi remaja, dan dua rakan baharu mereka, Nicholas Coombe (Randy) serta Madeleine Madden (Sammy), ada sahaja aksi dan keletah mereka yang mengundang ketawa penonton.

Cabaran baharu

Dora and the Lost City of Gold secara ringkasnya mengenai Dora yang kini perlu berdepan dengan persekitaran baru iaitu sekolah tinggi serta bertemu dengan rakan baharu Randy dan juga Sammy.

Penggembaraan filem ini bermula apabila Dora, Diego dan rakan-rakannya terperangkap dalam saluran air purba yang dikenali sebagai Puquois.

Dalam masa yang sama, Dora dan yang lain-lain perlu menyelamatkan ibu bapa Dora dan menyelesaikan misteri di sebalik kehilangan ketamadunan Kota Inca.

Tidak hanya mempertaruhkan Moner dan kisah pengembaraan semata-mata, Tom Wheeler dan Nicholas Stoller selaku penulis tidak lupa memasukkan ayat-ayat yang sinonim dengan Dora The Explorer seperti Swiper, no swiping! dan juga backpack.

Bagaimanapun dari segi jalan cerita, momentum filem ini ada turun naiknya. Tetapi tidak juga terasa terlalu membosankan. Ia masih lagi menarik untuk ditonton, biarpun anda mungkin bukan peminat animasi Dora The Explorer.

Filem ini dikemaskan lagi dengan persediaan prop dan sinematografi yang memukau mata memandang. Walaupun ada beberapa babak hanya dilakukan dalam studio, tetapi nampak seolah-olah wujud di dunia nyata.

Bukan itu sahaja, filem yang mengangkat tema kekeluargaan, kesetiaan, persahabatan ini, turut diselitkan dengan mesej berguna buat penonton.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia