Pemuda UMNO Pasir Gudang buat laporan polis

Noor Azleen (depan, tengah) memegang laporan selepas selesai membuat laporan polis di IPD Seri Alam di sini hari ini.
Noor Azleen (depan, tengah) memegang laporan selepas selesai membuat laporan polis di IPD Seri Alam di sini hari ini.
A
A
A

PASIR GUDANG - Kenyataan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi didakwa memperlekehkan tulisan jawi dalam satu klip video tular di laman sosial sejak semalam disifatkan sebagai sesuatu yang boleh memecah-belahkan keharmonian masyarakat Melayu di negara ini.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang, Noor Azleen Ambros berkata, perkara sedemikian tidak seharusnya berlaku apatah lagi kesenian tulisan Jawi itu merupakan tradisi dan martabat yang sentiasa dipandang tinggi sejak sekian lama.

"Pemuda UMNO Pasir Gudang dengan jelas merasakan kenyataan itu boleh mengganggu keharmonian masyarakat Melayu di negara ini khususnya Johor sendiri.

"Kita dapati beliau (Shu Qi) dengan jelas walaupun dalam Mandarin mengutuk tulisan Jawi ini malah mengaitkannya dengan bahan lucah. Isu ini sengaja dibangkitkan dan ia juga menunjukkan beliau seorang yang kurang didikan nilai moral serta tiada sifat muhibah antara agama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam di sini hari ini.

Noor Azleen berkata, perkara lain yang membuatkan pihaknya kurang senang dengan kenyataan dikeluarkan pemimpin dari DAP itu adalah kerana tindakannya yang menggelar umat Islam sebagai ekstremis.

"Dalam ucapannya beliau turut melabel orang Islam sebagai ekstremis. Perkataan ini adalah tohmahan berniat jahat padahal setiap umat ini sering diingatkan untuk bersederhana dalam setiap tindak tanduk walaupun ia melibatkan perihal agama," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, usaha Pemuda UMNO Bahagian membuat laporan polis berkenaan adalah untuk mendesak pihak berkuasa melakukan siasatan seterusnya mengambil tindakan tegas sekiranya didapati ia satu kesalahan.

Artikel Berkaitan:

"Kami bimbang tindakan Ahli Parlimen ini bakal mewujudkan ketegangan antara kaum dan mengganggu keharmonian masyarakat berbilang bangsa di negara ini.

"Ini adalah permulaan, di Johor saya difahamkan Pemuda UMNO di beberapa bahagian lain juga akan membuat laporan sama," katanya.

Terdahulu, klip video berdurasi 22 saat yang mulai tular di laman sosial Facebook sejak semalam itu difahamkan diambil ketika Shu Qi sedang berucap dalam satu sesi dialog bersama Persatuan Tiong Hwa Kluang pada 9 Ogos.