Ular sawa dalam telaga lama

Pihak APM Tanah Merah berusaha menangkap ular sawa seberat 15kg.
A
A

TANAH MERAH - Penduduk di Taman Barakah di sini gempar selepas dikejutkan dengan kehadiran ular sawa seberat 15kg dalam telaga lama ketika menyertai aktiviti Gotong-royong Cegah Aedes di sini kelmarin.

Bagaimanapun, ular berkenaan berjaya ditangkap dengan bantuan pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) Tanah Merah.

Pegawai APM Tanah Merah, Abd Fattah Abd Aziz berkata, ular itu tidak agresif dan pihaknya menggunakan alatan khas untuk menangkap reptilia berkenaan.

"Kita ambil masa lebih lima minit dan akhirnya ia berjaya ditangkap dengan bantuan penduduk.

"Ular sepanjang lapan meter itu dihantar ke pejabat APM Tanah Merah sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) untuk tindakan susulan," katanya.

Abd Fattah berkata, beliau menasihatkan orang ramai dan penduduk setempat agar membersihkan kawasan semak di tempat kediaman.

"Ular biasanya akan cari kawasan yang sejuk untuk bersembunyi dan pada musim panas ia akan keluar mencari kawasan persembunyian lain.

"Kita harap masyarakat beri perhatian bukan sahaja mengadakan gotong-royong bersama jabatan malah menjadikan aktiviti membersihkan kawasan setempat sebagai aktiviti rutin bulanan atau mingguan," katanya.

Katanya, sebarang kes berkaitan ular di daerah ini, orang ramai boleh menghubungi talian 999 untuk tindakan lanjut.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia