Pemuda UMNO Kluang selar Shu Qi

Mohd Khairul
Mohd Khairul
A
A
A

KLUANG - Pemuda UMNO Bahagian Kluang menyelar tindakan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi selepas memperlekehkan dan menyamakan tulisan jawi dengan buku lucah yang diterbitkan menggunakan tulisan jawi.

Ketua Pemudanya, Mohd Khairul Ishak berkata, video Shu Qi yang kini sedang tular di media sosial secara jelas menunjukkan bahawa Ahli Parlimen dari DAP itu seorang yang kurang nilai-nilai moral.

"Nampak benar ceteknya Shu Qi ini dalam sejarah penggunaan tulisan jawi kerana kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya tahu sejarah sebenar mengenai tulisan jawi ini sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

"Berdasarkan catatan sejarah, pada zaman penjajah dahulu pegawai-pegawai penjajah bila berhubung dengan raja-raja dan pembesar Melayu mereka menulis dalam bahasa Melayu dengan tulisan jawi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pelajar yang menguasai tulisan jawi tidak akan mengalami sebarang kerugian dan akan menjadi seorang yang bernilai tinggi kerana dapat menimba secara langsung khazanah warisan ilmu pengetahuan dan kebijaksanaan yang turun-temurun sebuah tamadun besar di rantau Asia Tenggara.

Katanya, Shu Qi seharusnya menyampaikan pandangan tentang pembelajaran tulisan jawi secara lebih ilmiah dengan lebih bermoral dengan terlebih dahulu merujuk kepada golongan profesional dan pendidik yang arif dalam bidang penulisan jawi.

"Saya menganggap beliau (Shu Qi) dengan sengaja cuba membangkitkan kemarahan rakyat dan menyemai nilai kebencian di antara kaum dan beliau sendiri tidak sensitif dan menghormati kepelbagaian kaum serta agama di negara kita yang terkenal dengan keharmonian pelbagai kaum.

"Tegas diingatkan bahawa tulisan jawi ini tidak seharusnya dipolemikkan dan mana mana pihak dan tidak perlu wujud kegusaran atau tentangan kerana tulisan jawi adalah antara warisan budaya di negara Malaysia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, beliau juga turut menasihatkan agar Shu Qi mencari kaedah dan penyelesaian terbaik dalam meningkat sumber pendapatan rakyat yang kini semakin dibebani dengan peningkatan kos sara khususnya di Parlimen Kluang dan menyelesaikan kecelaruan pemimpin parti gabungan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Sebelum ini, Shu Qi dalam sebuah video berdurasi 20 saat memberi penerangan bahawa tulisan Jawi digunakan pada buku-buku lucah sehingga mengundang pelbagai reaksi oleh netizen.