Sultan Kelantan sempurnakan ibadat korban perdana

Sultan Muhammad IV (tiga kanan) selepas selesai menjalani ibadat korban perdana di Kompleks Islam Jubli Perak Panji hari ini.
Sultan Muhammad IV (tiga kanan) selepas selesai menjalani ibadat korban perdana di Kompleks Islam Jubli Perak Panji hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berangkat tiba di majlis ibadat korban di Kompleks Islam Jubli Perak Panji pagi tadi.

Baginda tiba jam 9 pagi diiringi Adindanya, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Dr Muhammad Fa-iz Petra bersama kerabat diraja lain.

Baginda kemudiannya melaksanakan ibadat korban dua ekor lembu dan salah satunya lembu baka Charolais dengan berat kira-kira setengah tan.

Tengku Temenggung Kelantan, Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz ketika ditemui berkata, ibadat korban perdana kali ini melibatkan 39 ekor lembu untuk diagihkan kepada 1,500 fakir miskin dan masjid negeri Kelantan.

"Daging korban ini akan diagihkan kepada fakir miskin dan masjid sekitar negeri ini sepertimana kelaziman sebelum ini," katanya ketika sidang akhbar pada majlis korban perdana itu hari ini.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Zulkifle Ab Rahman berkata, sumbangan lembu oleh Maik iaitu daripada orang ramai yang ingin membuat korban mewakilkan Maik.

"Korban perdana ini telah dianjurkan sejak sekian lama. 37 ekor lembu adalah daripada orang ramai dan dua ekor daripada baginda tuanku. Lembu yang dikorbankan tuanku dipilih sendiri oleh baginda.

"Sesiapa yang ingin buat korban, Maik juga uruskan korban perdana seperti ini. Insya-ALLAH tahun depan kita akan uar-uarkan program ini secara lebih besar lagi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Zulkifle berkata, pada14 Ogos ini pihaknya juga akan mengadakan korban perdana 30 ekor lembu di perkampungan orang asli Kuala Betis, Gua Musang.