Rakyat Malaysia di Songkhla dinasihati waspada

Wisma Putra
Wisma Putra
A
A
A

PUTRAJAYA - Rakyat Malaysia di sekitar kawasan tarikan pelancong berhampiran Pantai Samila, Songkhla, Thailand dinasihatkan supaya berhati-hati dan memantau perkembangan terbaru dari berita tempatan serta pihak berkuasa tempatan mengenai kejadian letupan bom di kawasan itu.

Dalam satu kenyataan, Wisma Putra berkata, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, Thailand mengesahkan bahawa berlaku dua letupan bom di tempat-tempat pelancongan berhampiran Pantai Samila, Songkhla pada kira-kira pukul 10.00 malam (waktu tempatan) pada Rabu.

"Rakyat Malaysia yang berada di kawasan yang terjejas dan memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Konsulat Jeneral di Songkhla, Thailand di +66 93 657 0707," katanya.

Terdahulu, Bernama memetik Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Mohd Afandi Abu Bakar bahawa tiada rakyat Malaysia yang cedera dalam kejadian di pantai itu yang popular di kalangan pelancong tempatan dan asing termasuk rakyat Malaysia.

Dua butir bom menggegarkan Pantai Samila pada Rabu malam, menyebabkan kerosakan pada patung duyung emas dan arca kucing dan tikus yang terkenal di kawasan itu.

Gabenor wilayah Songkhla Wiranan Penjang berkata tiada siapa yang cedera dalam insiden itu yang berlaku pada pukul 10 malam (11 malam waktu Malaysia).

Bom kedua merosakkan bahagian pangkal patung duyung itu.

Bom pertama yang meletup 10 minit terdahulu merosakkan arca kucing dan tikus yang terletak 200 meter dari patung duyung itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: