Gagal larikan ATM pagi raya

A
A
A

SHAH ALAM - Sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan dua mesin deposit tunai (CDM) cuba dilarikan penjenayah daripada bank di sebuah bank di Setia Alam di sini, pagi tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian sekitar jam 6.43 pagi hari raya pertama Aidiladha itu cubaan penjenayah terbabit gagal.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di bank tersebut mendapati seorang suspek dengan memakai jaket berhood hitam telah mengumpil mesin ATM dengan menggunakan "besi crowbar".

Menurutnya, seorang lagi suspek dengan pakaian sama telah memasang rantai besi dan cangkuk pada mesin ATM.

"Cubaan menarik mesin ATM itu menggunakan sebuah kenderaan belum dikenalpasti bagaimanapun gagal.

"Kejadian berlaku lebih kurang dalam dua minit," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Baharudin berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 8.10 pagi dan hasil pemeriksaan menemui kesan umpil pada dua mesin CDM dan sebuah mesin ATM.

"Terdapat rantai besi dan cangkuk telah dipasang pada mesin ATM yang cuba ditarik keluar penjenayah.

Artikel Berkaitan:

"Hasil pemeriksaan juga mendapati tiada wang yang sempat dilarikan suspek dan nilai kerosakan pada mesin ATM itu belum diketahui.

"Siasatan turut mendapati pintu premis mesin ATM secara automatiknya akan dibuka pukul 6 pagi dan ditutup 12 tengah malam setiap hari," katanya.

Baharudin menambah, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor S. Ravind di talian 012-2633203 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan.