Kumpulan sukarelawan tawar diri bantu kesan Nora Anne

Kumpulan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kenny Chan (dua, kanan) bersama rakan lain hari ini turut membantu misi pencarian seorang remaja warga Ireland Nora Anne Quoirin, 15, yang dilaporkan hilang pada 4 Ogos lalu. -Foto Bernama
Kumpulan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kenny Chan (dua, kanan) bersama rakan lain hari ini turut membantu misi pencarian seorang remaja warga Ireland Nora Anne Quoirin, 15, yang dilaporkan hilang pada 4 Ogos lalu. -Foto Bernama
A
A
A

NILAI - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang hilang sejak 4 Ogos, hari ini turut mendapat bantuan daripada kumpulan pendaki sukarelawan.

Wakil kumpulan berkenaan, Kenny Chan Kai Sian, 43, berkata kumpulan mereka menyertai operasi SAR itu pada pukul 9.30 pagi tadi dan tertumpu di kawasan satu kilometer daripada resort yang diinap keluarga mangsa.

"Sepatutnya petang ini ada sesi kedua tetapi kami putuskan untuk pulang dahulu untuk mendapatkan rehat yang cukup sebagai persediaan pencarian esok,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian di Pantai, Seremban, hari ini.

Esok, kumpulan berkenaan yang terdiri daripada 12 orang berumur antara 17 dan 62 tahun itu akan meredah Gunung Berembun bagi membantu menjejaki Nora Anne.

Chan yang mempunyai pengalaman mendaki Gunung Berembun sebelum ini berkata pencarian hari ini agak mencabar ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu sejak dua tiga hari ini.

"Laluan menjadi licin dan berlumpur dan ia menyukarkan perjalanan setiap daripada mereka yang terlibat dalam operasi ini. Hari ini kami ada 12 orang sahaja, kami jangka esok akan lebih ramai sertai kami,” katanya.

Dalam pada itu, Chan juga mengalu-alukan mana-mana pendaki yang berkelapangan untuk turut serta membantu operasi SAR itu.

Sementara itu, kebajikan pengamal media yang membuat liputan kes kehilangan remaja berkenaan juga turut menarik perhatian seorang lagi sukarelawan dari Hospital Ampang, Zamila

Artikel Berkaitan:

Majlis, 59, yang hadir ke lokasi hari ini bagi memberi kata-kata semangat dan sumbangan makanan.

"Saya dilahirkan dan membesar di kampung ini dan kebetulan saya pulang beraya. Jadi terpanggil untuk datang ke sini dan melihat petugas media yang bekerja walaupun raya. Sebelum ini tiada kejadian orang hilang sangat lama seperti ini.

"Saya berdoa dan berharap mangsa dapat ditemui dengan selamat... sekiranya ada apa-apa lagi diperlukan, saya akan bantu,” katanya.

Pada 4 Ogos lepas, remaja Ireland yang mengalami masalah pembelajaran itu dilapor hilang selepas tiba bersama ibu bapanya di Malaysia pada Sabtu, 3 Ogos untuk percutian dua minggu di sebuah resort di Pantai, Seremban.

Remaja berkenaan disedari hilang dari bilik penginapannya oleh keluarganya pada pukul 8 pagi.

Sementara itu, di KUALA LUMPUR, Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye menyeru semua ahlinya supaya turut serta membantu misi mencari dan menyelamat Nora Anne.

Beliau berkata MCPF amat bersimpati dengan penderitaan yang ditanggung keluarga remaja itu.

"Marilah kita semua berdoa agar Nora Anne selamat dan segera dijumpai," katanya dalam kenyataan hari ini. -Bernama