Buang bayi sebab kurang kesedaran

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Peningkatan kes pembuangan bayi dipercayai berlaku kerana kurangnya kesedaran dan bantuan kepada wanita yang hamil luar nikah.

Selain itu, kesibukan ibu bapa juga dilihat mejadi penyumbang kepada peningkatan kes pembuangan bayi di negara ini.

Pakar Psikologi KPJ Puteri, A Loheswary berkata, salah satu faktor utama peningkatan kes buang bayi adalah kurangnya kesedaran dan perkhidmatan bantuan serta sokongan.

"Contohnya, mangsa rogol atau yang terlanjur tidak mendapat sokongan keluarga kerana stigma dan malu malah tiada tempat nak tuju.

"Kurangnya perhatian daripada ibu bapa yang terlalu sibuk juga menyumbang. Anak-anak cari orang lain untuk kongsi tekanan dan orang ambil kesempatan," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

A Loheswary
A Loheswary

Loheswary turut menyentuh soal kebebasan yang diberikan kepada anak-anak terhadap media sosial hingga mendedahkan mereka anasir jahat.

"Sistem dan undang-undang negara yang lemah juga menyumbang memandangkan undang-undang kita tidak mengelaskan 'grooming' dan 'stalking' itu tindakan salah.

Artikel Berkaitan:

"Sedangkan itu permulaan mangsa masuk ke perangkap pelaku. Pelajar perempuan paling terdedah diajak melakukan perbuatan seksual dengan membuatkan mereka percaya kepada pelaku," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa, pihak sekolah dan pakar kesihatan mental memainkan peranan masing-masing bagi mengelakkan perkara ini terus berlaku.

"Ibu bapa kena lebih berhati-hati dan sentiasa periksa aktiviti anak-anak manakala pihak sekolah serta pakar kesihatan mental perlu dekati pelajar sekolah rendah dan menengah untuk didik mereka mana yang betul, mana yang salah.

"Perkhidmatan kaunseling sebelum kahwin, kaunseling percuma perlu diberikan kepada pelajar dan orang awam untuk meningkatkan kesedaran," katanya.

Menurutnya, guru juga perlu dilatih untuk mengenal pasti pelajar yang mungkin berdepan dengan masalah kesihatan mental.

"Kemudian segera mendapatkan bantuan pakar kerana perkara itu juga menyumbang kepada peningkatan kes wanita hamil luar nikah.

"Saya juga bersetuju sekiranya badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang menghulurkan bantuan kepada mangsa diberikan peruntukan oleh kerajaan," katanya.

Sebelum ini, Exco Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Liow Cai Tung melahirkan kebimbangan dengan statistik pembuangan bayi yang menunjukkan Johor merekodkan kes paling tinggi di negara ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Johor catat kes buang bayi paling tinggi