Ambil masa selesai isu mangsa ribut: Amirudin

Amirudin bertanya khabar dengan seorang mangsa ribut yang dipindahkan ke Balai Raya Batu 2, Desa Kasih, Tebok Pulai.
A
A

SABAK BERNAM - Kerajaan negeri memerlukan masa dan proses tertentu bagi membantu mangsa hujan lebat dan angin kencang yang melanda beberapa kawasan di Sabak Bernam.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri mempunyai cukup pengalaman bagi membantu mangsa ribut seperti yang berlaku di beberapa kawasan lain di negeri ini.

"Apa yang berlaku di Tanjong Karang dan tempat lain di negeri ini layak mendapat bantuan dan sebagainya. UMNO dulu masa jadi kerajaan tidaklah malam itu (terus) bantu rakyat.

"Pembangkang boleh menyuarakan apa sahaja, tetapi kerajaan negeri telah melaksanakan tanggungjawab terbaik untuk rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan yang mengingatkan kerajaan negeri tidak menangguhkan bantuan kepada mangsa ribut di Sabak Bernam.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan tangguh bantuan mangsa ribut

Terdahulu, Amirudin menziarahi penduduk kampung yang terjejas di Balai Raya Batu 2, Desa Kasih, Tebok Pulai, di sini.

Menurutnya, semua pegawainya mula bergerak ke lokasi ribut sejak tengah malam dan pagi tadi untuk membantu menyelesaikan kesulitan dialami mangsa ribut.

"Paling cepat, kita ambil masa seminggu kerana pada hari Khamis akan datang, perkara ini akan dibentangkan untuk diluluskan dari segi bantuan dan sokongan," katanya.

Beliau berkata, Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam akan memberikan bantuan awal sebanyak RM500 kepada penduduk yang terjejas.

“Saya difahamkan sebanyak 443 rumah terbabit dengan bencana ini dengan tambahan 65 rumah. Setakat ini, hanya satu keluarga dipindahkan ke balai raya berdekatan yang melibatkan 15 mangsa," katanya.

"Kita akan selaraskan bantuan ini dan sekiranya mangsa tiada dalam senarai (Lembaga Zakat Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat, kerajaan negeri akan membantu melalui dana negeri," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia