Tetap cari Nora Anne, walaupun esok raya

Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) diberi taklimat sebelum meneruskan misi pencarian seorang remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang dilaporkan hilang Ahad lepas di sekitar kawasan hutan di sini. - Foto Bernama
A
A

SEREMBAN – Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) akan tetap meneruskan operasi pencarian remaja Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, esok meskipun umat Islam menyambut Aidiladha.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, sambutan lebaran tidak akan menghalang pasukan penyelamat meneruskan operasi pencarian yang akan masuk hari kelapan esok.

“Kepada semua petugas saya di lapangan saya ucapkan selamat hari raya.

“Walaupun esok hari raya kita akan tetap teruskan pencarian seperti biasa,” katanya pada sidang akhbar operasi SAR hari ketujuh petang tadi.

Menurutnya, anggota yang beragama Islam akan diberikan pengecualian pada sebelah pagi untuk menunaikan solat hari raya sebelum meneruskan operasi pencarian.

“Esok kita bagi pelepasan kepada anggota yang mahu menunaikan sembahyang sunat, masjid pun tidak jauh dari sini.

“Lagipun kita biasa mulakan operasi pencarian sekitar jam 9 pagi. Jadi esok mungkin jam 9 atau 10 pagi kita akan teruskan operasi,” katanya.

Ibu Nora Anne berterima kasih kepada anggota SAR yang berkorban mencari anakanya.
Ibu Nora Anne berterima kasih kepada anggota SAR yang berkorban mencari anakanya.

Sementara itu, Mohamad berkata, operasi ketujuh hari ini melibatkan seramai 317 anggota termasuk pasukan elit polis, Komando VAT69.

"Pada hari ketujuh pasukan SAR mengecilkan kawasan pencarian kepada 4km radius. Kita kecilkan kawasan kerana kita rasa ini kawasan tumpuan,” katanya.

Dalam pada itu terdahulu, usaha pasukan SAR yang tetap bersemangat meneruskan operasi pencarian menjelang Aidiladha turut mendapat perhatian keluarga Nora Anne pagi tadi.

Ibu Nora Anne, Meabh Jaseprine Quoirin bersama suaminya, Sebastian Marie Philipe sempat bertemu dengan anggota keselamatan untuk menzahirkan ucapan terima kasih kerana tetap meneruskan misi pencarian walapun pada musim perayaan.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua, kami sedar anda melakukan pencarian siang dan malam untuk mengesan Nora Anne. Kami tahu anda berusaha gigih dan sanggup mengorbankan masa terutama perayaan (Aidiladha esok) untuk bersama kami serta mendoakan kami.

“Kami sangat menghargai usaha dan pengorbanan anda semua sama ada anggota yang berada di sini atau tidak (yang sedang melakukan operasi),” katanya dalam rakaman video yang dikongsi melalui Facebook Polis Negeri Sembilan.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia