'Bagaikan mimpi, semalam bertemu, hari ini sudah tiada'

- Foto Bernama
- Foto Bernama
A
A
A

MELAKA TENGAH - “Saya bagaikan bermimpi, tidak percaya kerana pagi semalam baru sahaja kami bertemu. Sebelum berangkat ke ibu kota, suami kerap tersenyum, tetapi hari ini dia sudah tiada,” luah isteri seorang mangsa yang maut dalam kemalangan di Lebuh Alor Gajah - Melaka Tengah- Jasin (AMJ) Jelatang menghala ke Simpang Ampat, Alor Gajah malam tadi.

Loh Sy Huey, 49, berkata, seperti biasa setiap hari suaminya, Wang Chow Kuang, 51, akan berulang alik sama ada dari Melaka ke Kuala Lumpur, Selangor atau Singapura selain terbang ke China atau Vietnam atas urusan perniagaan.

“Dia seorang yang sangat kuat bekerja, saya tahu dia penat kerana sentiasa berulang alik ke sana dan ke sini. Walaupun dia penat, dia tidak pernah tunjukkan rasa letih itu kepada saya dan anak-anak. Tak sangka hanya kira-kira 23 tahun sahaja saya dapat hidup bersama dengannya.

“Bahkan dia seorang suami yang baik, penyayang dan sentiasa memanjakan dua anak perempuannya. Mungkin tuhan cemburu dengan kebahagiaan kami,” katanya sambil teresak-esak ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka di sini hari ini.

Menurutnya, ketika kejadian berlaku, Chow Kuang dan anak perempuannya Wang Yi Tong, 21, yang belajar di Universiti Sunway, Subang Jaya dalam perjalanan pulang ke rumah di Machap Omboo, Alor Gajah.

“Saya dapat panggilan 9.55 malam tadi mengatakan suami dan anak saya terlibat kemalangan dan salah seorang daripadanya meninggal dunia di tempat kejadian, saya tercengang dan tidak dapat berkata apa-apa,” kata ibu kepada dua anak itu.

Sy Huey berkata, anaknya mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka sudah mula sedar, namun dia masih lagi dalam keadaan yang lemah.

Selain suami Sy Huey, lima sekeluarga turut terkorban dalam kemalangan maut membabitkan tiga kenderaan iaitu Mitsubishi Triton dan Isuzu D-Max serta sebuah treler tanpa muatan pada 9.40 malam tadi.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Enam maut termasuk lima sekeluarga

Kejadian itu turut menyebabkan anak perempuannya cedera parah, manakala pemandu treler tidak mengalami kecederaan. - Bernama