Longgokan sampah cacatkan pemandangan Pasar Payang 2

A
A
A

KUALA TERENGGANU - Longgokan sampah sarap di pintu masuk utama Pasar Payang 2 yang dikongsi pengguna laman sosial semalam mencacatkan pemandangan di pusat perniagaan baharu yang mula diduduki sejak awal bulan ini.

Gambar longgokan sampah sarap yang dikongsi oleh pengguna laman sosial Facebook Amazing Terengganu itu menarik perhatian netizen.

Rata-rata mereka mempertikaikan tindakan tidak bertanggungjawab yang mencemarkan pemandangan terutama dalam kalangan pelancong luar yang berkunjung ke pusat tumpuan perniagaan itu.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, tiada toleransi yang akan diberikan terhadap soal kebersihan.

Katanya, pengurusan kebersihan perlu lebih cekap dan efisien bersesuaian dengan premis baharu diduduki itu.

"Saya melihat sendiri keadaan kebersihan seperti yang dilaporkan dan perkara ini perlu diberi perhatian sewajarnya," katanya.

Beliau berkata, kontraktor kebersihan dan para peniaga di Pasar Payang 2 perlu peka dan lebih sensitif terhadap masalah sampah di lokasi itu.

"Kontraktor mesti mampu tunaikan piawai kebersihan yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Manakala, peniaga yang didapati tidak menjaga kebersihan dan melakukan kesalahan serta tidak dapat mematuhi peraturan setelah ditegur boleh dibatalkan lesen premis," katanya selepas melakukan lawatan mengejut ke premis itu, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Amzad turut menyeru kepada pengunjung supaya menjaga kebersihan Pasar Payang 2.

"Kebersihan adalah tanggungjawab kita bersama. Kepada pengunjung, kita nasihatkan supaya membuang sampah di tong-tong sampah yang disediakan," katanya.