Singapura bantu kesan dua rakyat hilang semasa berkayak di Mersing

No Image Caption
A
A
A

SINGAPURA - Pihak berkuasa Singapura membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan oleh pihak berkuasa malaysia untuk mengesan dua warga Singapura yang hilang semasa berkayak di perairan Mersing, Johor pada Khamis.

Kementerian Hal Ehwal Luar (MFA) republik itu berkata, sejak kedua-dua warga Singapura itu dilaporkan hilang pada 9 Ogos, Konsulat Jeneral Singapura di Johor Bahru telah berhubung rapat dengan pihak berkuasa Malaysia yang menyelaraskan operasi SAR.

"Satu pasukan dari Konsulat Jeneral Singapura kini berada di lapangan untuk memberi bantuan dan sokongan," kata MFA dalam satu kenyataan di sini.

MFA berkata, Kementerian dan Konsulat Jeneral akan terus memberi bantuan konsular kepada waris warga Singapura yang hilang itu dan membantu operasi pencarian dijalankan.

Tan Eng Soon, dan Puah Geok Tin dipercayai terpisah dari sekumpulan 15 warga Singapura lain yang berkayak dengan mereka dari jeti Penyabong di Mersing.

Terkini, kawasan operasi bagi mencari dan menyelamat diperluaskan sehingga 150 batu nautika persegi.

Pencarian itu yang bermula dari Tanjung Resang, Mersing sehingga Kuala Rompin, Pahang, adalah penambahan kepada 15 batu nautika persegi kawasan pencarian, semalam.

Operasi kali ini melibatkan sebuah aset udara dan tiga buah bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Polis Diraja Malaysia selain disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia. - Bernama

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Dua warga Singapura hilang di laut