PPHF sedia bantu 26 jemaah haji terkandas

Foto arkib - Foto BERNAMA
Foto arkib - Foto BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pusat Perunding Haji Furada (PPHF) sedia membantu 26 jemaah haji Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah berikutan masalah visa Furada, Selasa lepas.

Ketua Pengarah PPHF, Ahmad Tajuddin Idris Al-Manhaji berkata, kesemua mereka boleh menghubungi pihaknya supaya dapat dipertimbangkan untuk mendapat tempat menunaikan Rukun Islam kelima itu tahun hadapan.

“Kita minta jemaah yang terkandas baru-baru ini hadir ke pejabat kami di Shah Alam bagi kita ambil butiran dan maklumat mereka supaya kita boleh bantu untuk proses rundingan.

“Kita akan beri maklumat itu kepada Kedutaan Arab Saudi dan kita akan berusaha agar mereka diberi peluang mendapat kelulusan visa Furada bagi musim depan. Namun apa pun ia masih tertakluk kepada keputusan Kedutaan Arab Saudi,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Selasa lepas, 26 jemaah rakyat Malaysia terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah kerana memiliki visa haji Furada yang tidak sah, menyebabkan mereka terpaksa diterbangkan pulang ke Malaysia.

Visa Furada (persendirian) adalah visa haji yang diperoleh dengan berurusan secara terus dengan Kedutaan Arab Saudi dan tidak melibatkan Lembaga Tabung Haji atau kuota haji sesebuah negara.

Ia biasanya diberikan pada saat-saat akhir berdasarkan kekosongan yang ada.

Mengulas lanjut, Ahmad Tajuddin berkata satu badan penyelia dan penyelaras khas diperlukan bagi menguruskan jemaah haji Malaysia yang menggunakan visa Furada.

Artikel Berkaitan:

“Buat masa ini tiada one stop centre yang mengendalikan visa Furada, kita perlu satu badan yang boleh membantu jemaah menyusun daripada proses mula memohon visa hingga pemilihan pakej dan segala urusan rasmi lain,” katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf dalam satu kenyataan berkata, TH tidak bertanggungjawab menguruskan visa Furada kerana ia dikendalikan secara terus oleh agensi-agensi pelancongan dan umrah serta pihak individu bersama kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:

TH tidak bertanggungjawab urus visa furada

Jemaah haji terkandas: Imbas pasport keluar muka orang lain