'Di mana EPL percuma? Dicapati lagi ke?'

Status yang dimuat naik oleh Najib dalam Facebook beliau, pagi tadi.
Status yang dimuat naik oleh Najib dalam Facebook beliau, pagi tadi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hari pertama bermulanya Liga Perdana Inggeris (EPL), bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mula ‘menghantar peluru’ kepada pemimpin Pakatan Harapan (PH).

Menurut Najib, awal pagi tadi, beliau menonton perlawanan Liverpoool FC menentang Norwich City FC dan tidak semena-mena teringat janji PH mahu menyiarkan EPL secara percuma sekiranya mereka menang PRU14.

“Masa itu, Liverpool sudah jaring tiga gol. Cepatnya. Tiba-tiba, saya teringat janji PH untuk EPL free jika mereka menang PRU14.

“Saya pun check stesen-stesen televisyen percuma. Yang sedang disiarkan masa itu adalah TV1 - Joran Selebriti, TV2 - Cinta di Langit Cardiff, TV3 - Tanyalah Ustaz dan di NTV7 - Transmisi tamat,” sindir beliau dalam laman Facebooknya pagi tadi.

Tidak terhenti di situ, Ahli Parlimen Pekan itu terus menyindir PH dan bertanyakan adakah janji EPL percuma ‘dicapati’ lagi.

“Di mananya EPL percuma? Dicapati lagi ke? Saya masih ingat masa PH tabur janji ini. Masa itu, mereka kata janji ini boleh direalisasikan dengan mudah. Senang untuk buat, kata mereka.

“PH kata, janji EPL percuma lebih konkrit dan berbeza dengan visi Transformasi Nasional 2050 (TN50) BN yang mereka sindir sebagai abstrak dan 'fantasi dongeng’,” katanya.

Menurutnya, walaupun TN50 adalah menyeluruh dan bermanfaat untuk masa depan anak-anak muda, namun PH menyindir “mengapa perlu tunggu 2050 kalau boleh capai pada 2018”.

Artikel Berkaitan:

“Tapi hakikatnya, janji EPL percuma PH dicapatikan serta-merta selepas PRU14. Gobind (Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo) kata tak boleh bagi percuma untuk tahun lepas.

“Kini, musim baru EPL bermula lagi. PH senyap saja. Mungkin nak harap orang ramai sudah lupa slogan "EPL Free" mereka. Tapi realitinya ialah janji ini telah dicapatikan buat kali kedua,” sindirnya lagi.

Katanya lagi, sudahlah tidak dapat EPL percuma dan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kena bayar, BR1M orang bujang pula dipotong dari RM600 menjadi Bantuan Sara Hidup (BSH) berjumlah RM100.

“Basah lagi, anak-anak muda kita,” tulisnya menutup status penuh sindiran beliau.