Peluang syarikat kontraktor Selangor bida tender terbuka

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han (empat, kanan) bersama Ramli (tiga, kanan) melakukan gimik perasmian pada Majlis Penyerahan Lori Kompaktor di Dewan Sri Siantan MDKS.
Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han (empat, kanan) bersama Ramli (tiga, kanan) melakukan gimik perasmian pada Majlis Penyerahan Lori Kompaktor di Dewan Sri Siantan MDKS.
A
A
A
KUALA SELANGOR - KDEB Waste Management Sdn Bhd menegaskan hanya syarikat kontraktor berdaftar di negeri ini sahaja layak membida kerja kutipan sampah domestik dan pembersihan awam secara tender terbuka.

Pengarah urusannya, Ramli Mohd Tahir berkata, syarikat kontraktor luar dari negeri itu tidak layak membuat sebarang bidaan.

"Kita membuka (tender terbuka) dengan syarat (syarikat kontraktor) mesti dari negeri Selangor. Kita tak terima syarikat dari Johor, Melaka dan negeri lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Lori Kompaktor di Dewan Sri Siantan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) di sini, hari ini.

Ramli berkata, di bawah seliaan KDEB Management juga, syarikat kontraktor diberi peluang membida tender terbuka bagi kerja pembersihan di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

"Kita tak boleh halang syarikat daripada Kajang, Petaling Jaya, Shah Alam untuk datang membida tender terbuka.

"Selepas mendapat kelulusan daripada PBT, syarikat akan menghebahkan iklan tender terbuka ini melalui siaran akhbar dan laman web rasmi syarikat," katanya.

Ramli berkata, pihaknya menerima banyak permohonan daripada syarikat seluruh negeri ini menerusi tender terbuka terbabit.

"Biasanya syarikat seluruh Selangor akan masuk (membuat bidaan) tender terbuka ini.
Artikel Berkaitan:


"Misalnya di Kuala Selangor, kita buka tender sebanyak 12 zon dan sebanyak 320 syarikat membuat permohonan, maknanya sebanyak 308 syarikat lagi terpaksa ditolak permohonan mereka," katanya.

Menurutnya, satu jawatankuasa ditubuhkan KDEB bagi membuat penilaian terhadap permohonan bidaan tersebut.

"Kita akan membuat penilaian termasuk tentang latar belakang syarikat, pengalaman, kemampuan kewangan, lesen, perjalanan syarikat dan sejarah," katanya.

Ramli berkata selain itu, beberapa syarat lain mesti dipenuhi syarikat untuk membida tawaran tersebut.

"Syarikat juga mesti berdaftar dengan Unit Perancangan Ekonomi Negeri dan memiliki sijil daripada Kementerian Kewangan untuk kutipan sampah dan pembersihan awam," katanya.