Negara ASEAN perlu berpendirian tegas isu jerebu

Foto: Bernama
Foto: Bernama
A
A
A

KUCHING - Negara ASEAN perlu mengadakan pertemuan untuk menyesaikan masalah jerebu dan pencemaran rentas sempadan yang memberi ancaman serius terhadap kesihatan penduduk di rantau ini.

Aktivis sosial, Datuk Seri Ang Lai Soon berkata, masalah pencemaran yang berulang itu perlu dibincangkan dengan lebih serius kali ini memandangkan negara ASEAN telah beberapa kali mengadakan pertemuan sebelum ini namun tiada tindakan tegas dan berkesan diambil.

"Rakyat di negara-negara terlibat mahukan keputusan yang memuaskan dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan.

Lai Soon berkata, beliau yakin Malaysia dan Singapura boleh memainkan peranan utama secara berterusan dalam mencari penyelesaian dan menangani perkara ini dengan serius.

Beliau berkata banyak negara mempunyai undang-undang yang ketat mengenai pencemaran dan pembakaran, bagaimanapun yang menjadi masalah ialah penguatkuasaan, terutamanya bagi negara membangun atau mundur.

Sehubungan itu, Lai Soon berkata, perlu ada kerjasama serius bagi menangani masalah ini menerusi perjanjian yang menjadikan penguatkuasaan satu perkara yang serius bagi menghalang orang ramai daripada melakukan perbuatan yang boleh menjejaskan kesihatan penduduk dan ekonomi negara terlibat.

Beliau berkata bayi, kanak-kanak, warga tua, ibu mengandung, orang sakit terutamanya yang mengalami masalah jantung adalah golongan yang paling terkesan akibat jerebu yang berpunca daripada kebakaran hutan terutama pembakaran bagi tujuan pertanian berskala besar.

"Perkara ini bukan krisis politik, tetapi krisis kesihatan yang mengancam nyawa,” katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan: