Diskusi Buku Hijau dan Gaddafi

A
A
A

“ANTRANYA sektor pendidikan dan kesihatan adalah percuma.” Begitulah antara permulaan bicara oleh Benz Ali, seorang aktivis ketika saya menghadiri diskusi buku di sebuah restoran bersebelahan Masjid Jamek beberapa hari yang lepas.

Diskusi buku ini ialah perbincangan berkenaan sebuah buku yang dihasilkan oleh pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dan telah diterbitkan semula. Buku ini bertajuk Buku Hijau Untuk Pemula.

Saya tidak pernah mendengar tentang buku ini pada mulanya. Tetapi kulitnya yang berwarna hijau dalam rekaan cetak letaknya menarik dan ditambah lagi tentang idea oleh sosok yang bernama Muammar Gaddafi menerbitkan rasa ingin tahu saya pula.

Sebenarnya cerita tentang Muammar Gaddafi ini amat tragis dan menyedihkan juga. Cara kematiannya amat dahsyat dan tidak patut diperlakukan begitu.

Akibat tindakan menjatuhkan beliau, sekarang Libya tidak pernah aman lagi. Dan dikatakan telah menjadi padang jarak padang tekukur.

Diskusi buku ini pula lebih kepada idea-idea yang terkandung dalam Buku Hijau ini sahaja.

Bukan tentang Muammar Gaddafi secara terperinci. Benz Ali ada juga berkata, idea-idea Gaddafi ini memang agak pelik-pelik juga, seperti yang terkandung di dalam buku ini yang menyatakan, stadium sepatutnya dimusnahkan.

Dan mereka yang pergi ke stadium jangan hendak jadi penonton tetapi hendaklah menjadi pemain. Begitulah antara pemikiran Gaddafi.

Artikel Berkaitan:

Rinci tentang buku ini sebenarnya telah dipersembahkan oleh seorang pemuda bernama Aaron.

Beliau memberi ulasan tentang buku ini yang mana telah dikaji bertahun-tahun sebelum ini. Maka atas kajian inilah Buku Hijau ini diterbitkan semula untuk difikirkan bersama.Seputar menghadiri diskusi ini juga, saya sempat membelek isi kandungannya.

Antara yang menjadi perhatian saya ialah Gaddafi menyatakan, sistem berparti ini adalah satu alat diktator.

Sistem berparti ini juga sebenarnya, menurut beliau, merupakan alat pemerintahan diktator yang digunakan oleh segelintir orang ke atas orang ramai.

Oleh itu, Gaddafi mencadangkan penyelesaiannya ialah merubah daripada sistem berparti kepada kongres rakyat pula.

Maksud kongres rakyat ini tidak lagi merujuk kepada kuasa eksekutif yang berkuasa menentukan polisi atau membuat keputusan.

Ia lebih kepada keputusan bersama mengikut tahap-tahapnya. Iaitu jika ia berkenaan isu membuat polisi pertanian, maka eloklah yang menganggotai kongres rakyat ini terdiri daripada petani-petani juga.

Selain itu, yang menarik perhatian saya lagi berkenaan idea Gaddafi ini ialah sistem berkeluarga. Gaddafi beranggapan tidak perlu ada rumah-rumah pengasuh dan juga tempat-tempat untuk menjaga anak-anak.

Anak-anak yang kecil hendaklah dijaga sendiri oleh ibu bapanya. Memberi anak kepada orang lain untuk menjaganya, diibaratkan oleh Gaddafi seperti membela ayam. Ayam ini dibela di dalam reban secara banyak pula.

Pengajaran dan iktibar

Sebenarnya idea-idea Gaddafi agak berlainan daripada idea yang dipelopori oleh pemimpin Mesir, Gamal Abdel Naser walaupun beliau sebenarnya terinspirasi daripada Gamal Abdel Naser itu sendiri.

Dan juga, pemikiran Gaddafi mempunyai perbezaan juga dengan idea-idea politik yang lain.

Begitulah antara inti pati diskusi yang saya hadiri merujuk kepada Buku Hijau ini. Namun begitu,

daripada diskusi ini, banyak pengajaran dan iktibar yang boleh difikirkan juga.

Gaddafi sebenarnya banyak memberi manfaat kepada rakyatnya walaupun ada juga beberapa kesalahan yang telah dilakukannya.

Cuma, mungkin musuh-musuhnya dengan campur tangan asing sengaja cuba memperbesarkan kesalahannya dan menghasut rakyat Libya untuk memberontak pula.

Amat malang bagi rakyat Libya sekarang. Keamanan dan kesejahteraan yang disangka akan dapat, rupanya penderitaan yang berterusan menimpa.

Di negara kita sendiri, hendaklah kita memperkuatkan kesatuan kita supaya tidak dipengaruhi propaganda asing dan pengkhianatan dalaman yang cuba mengkucar-kacirkan negara.

Saling menghormati dan bersatu padu akan menghasilkan negara yang kuat dan tidak akan dapat dimanipulasikan oleh kuasa asing yang akan cuba campur tangan dalam negara kita ini.

Maka tidaklah akan terjadi seperti yang berlaku di Timur Tengah dengan kebangkitan Arab Spring, yang akhirnya seperti peribahasa Melayu lama ini pula, ‘marahkan tikus, rengkiang dibakar.’

*Faisal Muhamad ialah jurutera kanan sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif.