'Nora Anne pernah bercuti di Asia, Eropah sebelum ini'

Gambar terbaru Nora Anne yang disiarkan oleh Lucie Blackman Trust.Foto: Lucie Blackman Trust
Gambar terbaru Nora Anne yang disiarkan oleh Lucie Blackman Trust.Foto: Lucie Blackman Trust
A
A
A

SEREMBAN - Pencarian yang memasuki hari ketujuh operasi SAR Nora Anne Quoirin,15, masih tidak memberikan sebarang petunjuk baharu.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Lucie Blackman Trust, sebuah perbadanan amal yang menguruskan hal ehwal berkaitan media untuk keluarga Nora Anne Quoirin memaklumkan, Nora Anne sebelum ini pernah bercuti bersama keluarga di Asia dan Eropah, namun tidak pernah melalui detik hitam seperti ini.

“Sebelum ini, dia pernah ke Asia serta Eropah, namun tidak pernah terpisah dengan keluarga atau tersesat. Dia sangat sensitif, malah sangat pemalu serta akan resah terhadap orang luar," kata kenyataan malam tadi.

Katanya, Nora Anne merupakan anak istimewa yang sangat melucukan, menyeronokkan dan sangat penyayang, malah tidak pernah ke mana-mana bersendirian.

"Nora Anne menghidap ‘Holoprosencephaly’ sejak lahir iaitu mengalami masalah mempunyai saiz otak yang lebih kecil berbanding individu lain.

“Sepanjang hayatnya, Nora Anne banyak meluangkan masa di hospital, malah sejak lahir, dia memerlukan pembedahan untuk membantunya bernafas, dan memerlukan perkhidmatan beberapa pakar kesihatan memantau tumbesarannya, kebolehan fizikal, kekuatan terutama keupayaan mentalnya," katanya.

Kenyataan itu turut menyebut Nora Anne berbangga kerana dapat bertutur dalam Bahasa Perancis dan Inggeris, namun, kebolehannya untuk berkomunikasi secara lisan itu sangat terhad.

Katanya, Nora Anne mampu mandi dan memakai pakaiannya sendiri, namun menghadapi kesukaran untuk memasang butang dan membasuh rambutnya.

Artikel Berkaitan:

"Di sekolah, dia sedang belajar menunggang basikal. Nora Anne suka berjalan bersama keluarganya, bagaimanapun menghadapi kesukaran untuk mengimbangkan badan.

“Setiap malam dia akan meluangkan masa bersama ibunya sebelum tidur,” katanya sambil menambah Nora sangat teruja untuk bercuti di Malaysia bersama keluarganya.

Remaja berkenaan dilaporkan hilang sejak pagi Ahad lalu, selepas disedari keluarganya sekitar jam 8 pagi semasa bercuti di resort The Dusun, Pantai Hill Seremban.

Usaha mencari dan mengesan Nora Anne kini dipertingkatkan dengan penambahan anggota serta keluasan pencarian yang kini memasuki hari ke tujuh.