Adik-beradik penjinak ular

Arjuna (kiri) memegang ular jenis tedung dan Nurnilam Sari memegang ular jenis sawa.
Arjuna (kiri) memegang ular jenis tedung dan Nurnilam Sari memegang ular jenis sawa.
A
A
A

TANAH MERAH - Pada mulanya dua beradik berusia 6 dan 9 tahun di Kampung Peralla di sini hanya mengikut bapa mereka menangkap ular, namun mula meminati selain sering bermain dengan haiwan berkenaan.

Nurnilam Sari Mohd Ridhuan, 9 dan adiknya Arjuna, 6, kini bukan sahaja berani memegang ular malah mampu bermain dengan reptilia berkenaan yang pada kebiasaannya ditakuti kanak-kanak seusia mereka.

Menurut bapa mereka, Mohd Ridhuan Ariffin, 39, kemahirannya menjinak ular bermula daripada minat selain sering membawa pulang ular yang ditangkap ke rumah untuk ditunjukkan kepada anak-anaknya.

"Anak-anak menunjukkan minat selain tidak rasa takut terhadap reptilia ini. Apabila saya lihat anak saya, Nurnilam Sari dan Arjuna menunjukkan minat terhadap ular, saya selalu dedahkan mereka dengan haiwan ini. Saya bagi mereka pegang.

"Pada kebiasaannya ular yang saya tangkap bukan sahaja daripada jenis ular sawa malah ular berbisa seperti ular tedung.

"Ternyata sebenarnya jika kena gaya, ular yang agresif pun boleh dijinakkan namun perlulah ada cara dan teknik yang betul," katanya.

Mohd Ridhuan berkata, setakat ini anak-anaknya masih di peringkat awal dan perlu diberi pendedahan lebih mengenai sifat reptilia itu.

"Sebenarnya ular merupakan haiwan yang jinak jika kena caranya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, tiada amalan tertentu yang digunakan untuk menjinakkan haiwan berbisa itu sebaliknya sentiasa fokus dan yakin dengan kebolehan diri.

"Melatih ular juga memakan masa kerana ia bergantung kepada 'mood' semasa ular dan tiada jalan pintas untuk menguasainya," katanya.