'Baby hatch' bukan galak buang bayi

Yuzila (tiga dari kanan) memberi penerangan tentang peranan 'baby hatch' kepada Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul yang hadir ke Hari Terbuka Yayasan OrphanCare baru-baru ini
Yuzila (tiga dari kanan) memberi penerangan tentang peranan 'baby hatch' kepada Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul yang hadir ke Hari Terbuka Yayasan OrphanCare baru-baru ini
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kewujudan Peti Pelindung Bayi oleh Yayasan OrphanCare bukan bertujuan menggalakkan kes pembuangan bayi sebaliknya menyelamatkan bayi terabai.

Ketua Pegawai Operasi Yayasan Orphancare, Yuzila Yusof berkata, pusat itu menjadi transit kepada bayi yang ditinggalkan sebelum diambil sebagai anak angkat sekali gus memberi peluang mereka membesar dalam institusi kekeluargaan yang sempurna.

Menurutnya, pihaknya tidak menggalakkan lebih banyak bayi dibuang tetapi mengelakkan bayi ditinggalkan tanpa perikemanusiaan, disembunyikan kelahiran, dibuang merata-rata sehingga terbunuh akibat kejahilan orang dewasa.

"Matlamat kami ialah mahu menyelamatkan nyawa bayi dengan hanya meletakkan di peti pelindung bayi atau 'baby hatch' tanpa sebarang bayaran.

"Tindakan ini tidak dikategorikan sebagai jenayah," katanya ketika ditemui pada Hari Terbuka Yayasan OrphanCare Sungai Petani, baru-baru ini.

Beliau berkata, sejak 'baby hatch' dibuka di Taman Ria Jaya, Sungai Petani, hanya satu bayi diterima sejak 2015, selain empat bayi lagi diperoleh dengan kerjasama Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang.

Menurut Yuzila, 'baby hatch' yang turut dibuka di Bukit Gasing, Petaling Jaya dan Taman Sentosa, Johor Bahru telah berjaya menyelamatkan 369 bayi seluruh Malaysia di mana 221 orang berjaya ditempatkan dengan keluarga angkat manakala 43 kes disatukan kembali keluarga asal.

Katanya, keselamatan bayi semasa dalam 'baby hatch' diberi jaminan kerana sebaik sahaja dimasukkan ke dalam peti, satu signal akan diterima petugas, penghawa dingin dibuka secara automatik dan pintu terkunci.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, seeloknya bayi ditinggalkan dengan beberapa dokumen dan informasi membuktikan kelahiran berlaku dalam negara bagi mengelakkan pertikaian status kewarganegaraan sehingga menyukarkan proses seterusnya setelah kanak-kanak itu meningkat dewasa.

"Bayi yang tidak dapat pengesahan maklumat kelahiran akan diklasifikasikan sebagai bukan warganegara, keadaan ini memberi kesan jangka panjang terutama melibatkan proses penyediaan sijil kelahiran, penempatan persekolahan selain menafikan hak perubatan dan pendidikan kanak-kanak terbabit," katanya.

Dalam pada itu, katanya, Yayasan OrphanCare turut menyediakan bantuan sokongan, latihan keibubapaan, membantu proses pengambilan anak angkat dan memberi perkhidmatan kaunseling ibu mengandung anak luar nikah mendapatkan perlindungan bagi mengelakkan tekanan dan ancaman kepada bayi yang bakal lahir.

'Baby hatch' turut ditempatkan di beberapa Hospital Pakar KPJ lain termasuk di KPJ Damansara, KPJ Ipoh, KPJ Johor, KPJ Tawakal, KPJ Seremban, KPJ Perdana dan KPJ Kuantan.

Katanya, berdasarkan statistik, lebih kurang 100 bayi dibuang setiap tahun dan hanya 30 peratus sahaja dijumpai dalam keadaan masih bernyawa.

"Ini antara kesan gejala seks bebas dengan tiada ilmu pengetahuan mengenai kesihatan reproduktif dan seksualiti, keruntuhan nilai murni, pengaruh negatif media sosial dan sebagainya.

"Faktor ini menyebabkan golongan ini terdedah kepada kes mengandung anak luar nikah atau mempunyai kandungan tidak dirancang," katanya.

Beliau berkata, pendidikan reproduktif dan seksual yang komprehensif seharusnya mendidik remaja tentang pentingnya kefahaman tubuh badan, kehormatan diri dan implikasi yang tidak sihat.

"Pendidikan sebegini mampu membuatkan remaja berfikir lebih jauh dan meningkatkan kesedaran mereka tentang pentingnya menjauhi gejala tidak sihat terutama kehamilan luar nikah dan penyakit jangkitan seksual.

"Kita juga mengambil inisiatif mendekati remaja, komuniti, pihak sekolah dan universiti serta masyarakat melalui ceramah pendidikan dan kesedaran dalam membentuk masyarakat ke arah kehidupan harmoni dan sejahtera," katanya.