DUN tidak boleh disekat buat undang-undang

Dr Shamrahayu Abd Aziz
Dr Shamrahayu Abd Aziz
A
A
A
SHAH ALAM - Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak boleh disekat daripada membuat undang-undang kerana ia satu badan yang kompeten dan layak, kata Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz.

Mengulas usul pindaan enakmen membabitkan penukaran agama bagi anak di bawah umur yang sepatutnya dibawa Menteri Besar, Amirudin Shari pada sidang DUN Selangor minggu lalu, beliau berkata, DUN mempunyai kuasa untuk memperkenal, membahas dan meluluskan undang-undang tersebut.

Menurutnya, sama ada undang-undang dipinda itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan atau tidak selepas diluluskan ia boleh dibahaskan kemudian.

“Pada saya DUN layak membuat undang-undang itu sebab ia di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Perbahasan boleh dilakukan sekiranya ia dapati bercanggah dengan mana-mana undang-undang sama ada Perkara 12, Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan atau apa-apa perkara lain yang mahu dibahaskan.

“Dewan juga yang boleh membuat keputusan untuk meluluskan atau tidak pindaan rang undang-undang (RUU) dibentangkan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata, sekiranya diluluskan dan ada pihak tidak berpuas hati mereka boleh membawanya ke mahkamah untuk diputuskan sama ada ia sah atau sebaliknya.

Terdahulu akhbar melaporkan, Amirudin sebelum ini dikatakan merancang untuk membentangkan RUU bagi membenarkan seseorang berusia bawah 18 tahun memeluk Islam dengan hanya mendapat kebenaran sama ada ibu atau bapa.

Ketika ini, enakmen Selangor menyatakan individu berusia di bawah 18 tahun mesti mendapatkan persetujuan daripada ibu dan bapa sebelum memeluk Islam.
Artikel Berkaitan:


Bagaimanapun, usul itu didakwa ditolak untuk dibentangkan dalam sidang DUN yang dipendekkan kepada dua hari sehingga 31 Julai lalu.

Memetik laporan portal berita, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, berdasarkan prinsip pengasingan kuasa, badan penggubal undang-undang (Parlimen dan DUN) tidak boleh disekat daripada membentangkan sebarang pindaan hanya kerana terdapatnya keputusan mahkamah berhubung hal berkenaan sebelum ini.

Jelasnya, biarlah mahkamah menentukan sama ada pindaan RUU itu satu ultra vires (di luar bidang kuasanya) atau tidak.