Ribut turut badai Pulau Pinang

Pokok tumbang menghempap sebuah rumah di kawasan Greenlane dalam kejadian ribut malam ini.
Pokok tumbang menghempap sebuah rumah di kawasan Greenlane dalam kejadian ribut malam ini.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Beberapa kawasan di negeri ini terjejas selepas dilanda ribut dan mengakibatkan banyak kejadian pokok tumbang berlaku.

Difahamkan angin kuat disusuli dengan hujan lebat berlaku kira-kira jam 10.30 malam turut mengakibatkan banyak rumah yang terjejas selain pokok menghempap kenderaan, rumah dan gerai di kawasan Seberang Perai.

Malah difahamkan, terdapat lima individu yang tercedera akibat kejadian itu dan kini sedang mendapat rawatan di Hospital Seberang Jaya.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh ketika dihubungi berkata, pihaknya masih mengumpul maklumat mengenai kawasan yang terjejas akibat bencana ini.

Sementara itu,Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) telah menggerakkan kakitangannya termasuk Pasukan Respon Komuniti (CERT) untuk mengalihkan pokok tumbang terutama yang menghalang laluan dan jalan raya.

Deretan kedai yang terkena tempias ribut yang melanda Bayan Lepas, malam ini.
Deretan kedai yang terkena tempias ribut yang melanda Bayan Lepas, malam ini.

Dalam pada itu, di bahagian pulau, beberapa kawasan dilaporkan mengalami kerosakan apabila pokok tumbang antaranya di Pasar Batu Lanchang, Jalan Perak, Jelutong dan Kampung Dodol.

Selain itu, deretan kedai di Bayan Lepas juga rosak teruk di bahagian bumbung ditiup angin kuat yang berlaku dalam tempoh kira-kira setengah jam itu.

Artikel Berkaitan:

Dari maklumat Jabatan Bomba dan Penyelamat, beberapa batang pokok tumbang dan terkena pada tiang elektrik di Tanjung Bungah mengakibatkan bekalan eletrik di kawasan itu terputus.

Difahamkan, jalan menuju ke Batu Feringghi juga terjejas akibat pokok di tepi jalan tumbang selain Jalan Bukit Jambul menuju ke Relau.

Bagaimanapun, sehingga kini, kenyataan rasmi dari pihak berkuasa masih belum diperolehi.