India pertahan keputusan hapus status khas di Kashmir

Aktivis Youth Forum for Kashmir melaungkan slogan mengutuk keputusan India terhadap Kashmir ketika menyertai protes di Lahore. - Foto: AFP
Aktivis Youth Forum for Kashmir melaungkan slogan mengutuk keputusan India terhadap Kashmir ketika menyertai protes di Lahore. - Foto: AFP
A
A
A

NEW DELHI - Perdana Menteri India, Narendra Modi mempertahankan keputusannya menghapuskan status khas di wilayah bergolak Kashmir atas alasan untuk menghentikan keganasan walaupun langkah itu berdepan bantahan banyak pihak terutamanya Pakistan.

Pemimpin Parti Bharatiya Janata (BJP) itu mengeluarkan kenyataan itu buat pertama kali sejak Artikel 370 yang memberikan status autonomi khas kepada Kashmir dimansuhkan menerusi Dekri Presiden pada Isnin lalu.

“Saya mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa kita dapat bebaskan Jammu dan Kashmir (J&K) daripada keganasan dan separatisme di bawah sistem ini,” katanya menerusi ucapan yang disiarkan stesen TV semalam.

Beliau secara melulu turut menuduh Pakistan menggunakan status khas itu sebagai ‘senjata’ untuk menentang India selepas wilayah tersebut dibahagikan pada 1947.

“Status istimewa itu tidak memberikan apa-apa kebaikan selain keganasan,dasar pemisah, nepotisme dan korupsi. Sebagai sebahagian Kesatuan India, wilayah itu akan menikmati lebih banyak peluang pekerjaan dan projek infrastruktur utama juga akan dipercepatkan,” ujarnya lagi.

Awal minggu lalu, Parlimen negara itu secara tergesa-gesa turut meluluskan Rang Undang-undang Penyusunan Semula J&K yang membahagikan wilayah tersebut.

Tolak ketenteraan

Menteri Luar Pakistan, Shah Mehmood Qureshi berkata, negara itu tidak akan menggunakan tindakan ketenteraan sebaliknya mereka akan melihat pilihan politik, diplomatik dan undang-undang untuk menangani situasi tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ketegangan antara kedua-dua negara kuasa nuklear itu semakin memuncak selepas Islamabad memutuskan untuk menurunkan hubungan diplomatik dengan India, menggantung perdagangan dua hala dan mengusir duta mereka pulang ke New Delhi.

Sebelum ini, Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan berikrar untuk mengemukakan perkara itu kepada Majlis Keselamatan PBB.

Khan turut menyuarakan kemarahan beliau menerusi Twitter dan menggesa negara antarabangsa mengambil tindakan untuk menghalang keputusan India yang akan memberi impak besar di wilayah didiami majoriti orang Islam itu.

“Kita bakal saksikan pembersihan etnik Kashmir,” ujarnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres turut menggesa India dan Pakistan tidak mengambil sebarang langkah yang akan mempengaruhi status J&K.

Ratusan ditahan

Di India, satu petisyen difailkan kepada Mahkamah Agung India oleh aktivis yang mencabar perintah berkurung di Kashmir yang dikuatkuasakan pada akhir minggu lalu.

Aktivis Tahseen Ponnawal dan peguam M L Sharma meminta mahkamah supaya menarik balik langkah itu dan membebaskan tahanan.

Press Trust of India melaporkan profesor universiti, ahli perniagaan dan aktivis adalah antara 560 individu yang diberkas pihak berkuasa ketika di bandar Srinagar, Baramulla dan Gurez.

Kebanyakan daripada mereka ditahan kerana melanggar perintah berkurung tersebut yang dilaksanakan selepas puluhan ribu tentera dikerahkan ke wilayah itu selain perkhidmatan telekomunikasi termasuk internet diputuskan serta-merta.

Dalam perkembangan berkaitan, Pakistan telah menggantung perkhidmatan kereta api utama dan melarang tayangan filem dari India di tengah-tengah konflik yang memuncak akibat keputusan unilateral New Delhi.

“Drama, filem dan kandungan berkaitan India diharamkan di negara ini,” kata Penasihat Perdana Menteri, Ashiq Awan.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Menteri Kereta Api, Sheikh Rasheed mengumumkan keputusan kerajaan untuk menghentikan operasi Samjhauta Express yang menghubungkan Lahore ke New Delhi.

Kashmir bukan Kabul

Gerakan Taliban menyelar Islamabad kerana mengaitkan konflik yang tercetus antara India dan Kashmir dengan situasi di Afghanistan.

Kelmarin, jurucakap kumpulan itu, Zabihullah Mujahed berkata, tindakan beberapa pihak mengaitkan isu Kashmir dengan Kabul tidak akan memulihkan krisis tersebut.

Taliban juga menggesa India dan Pakistan supaya tidak mengambil langkah yang boleh membuka jalan kepada ‘keganasan dan komplikasi’ di rantau terbabit.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas pemimpin pembangkang Pakistan, Shehbaz Sharif membuat perbandingan antara Kashmir dan Afghanistan.

“Apakah jenis kesepakatan ini? Sedangkan penduduk Afghanistan gembira meraikan keamanan di Kabul. Di Kashmir, bakal berlaku pertumpahan darah? Ini sememangnya tidak boleh diterima,” ujarnya.

Sementara itu, Kedutaan Pakistan di Kabul mengesahkan isu Kashmir tidak akan menjejaskan usaha perdamaian di Afghanistan.

“Situasi di Kashmir tiada kaitan langsung dengan keganasan di Kabul yang masih belum temui jalan penyelesaian,” kata Duta Pakistan ke Afghanistan, Zahid Nasrullah Khan. - Agensi