Sokong cadangan lorong kiri untuk motosikal

Bicara Minda bersama Menteri Kerja Raya, Baru Bian - FOTO SINAR HARIAN /ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Bicara Minda bersama Menteri Kerja Raya, Baru Bian - FOTO SINAR HARIAN /ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kerja Raya menyokong cadangan mengehadkan penunggang motosikal untuk menggunakan hanya lorong kiri atau lorong perlahan sahaja di jalan-jalan raya atau lebuh raya sebagai dasar baharu untuk membendung perangkaan yang membimbangkan mengenai kes kematian dan kecederaan dalam kalangan mereka.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian dalam satu temu bual dengan portal berita dalam talian ‘The Mole’ berkata dasar yang dicadangkan itu akan memaksa penungang motosikal untuk menggunakan lorong-lorong itu sahaja terutama pada waktu puncak sebelah pagi dan petang pada hari-hari bekerja.

"Perangkaan mengenai kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya pada waktu puncak semasa ke tempat kerja atau pulang yang melibatkan penunggang motosikal dan pembonceng telah mencapai tahap yang membimbangkan sejak empat tahun lepas," katanya.

Menurut perangkaan, lebih 4,000 orang mati dalam kemalangan motosikal setiap tahun dan beribu-ribu lagi cedera.

"Saya fikir kita boleh menguatkuasakan peruntukan tertentu pada waktu-waktu berkenaan pada hari-hari bekerja dengan mengehadkan penunggang motosikal untuk menggunakan lorong paling kiri sahaja di jalan raya. Ini mungkin boleh dilaksanakan.

"Saya fikir sebarang cadangan supaya dasar itu dikuatkuasakan sepanjang masa tidak sesuai buat masa ini," kata Baru sebagai mengulas cadangan oleh kumpulan pro-keselamatan jalan raya The Safety First Group supaya kerajaan memaksa penguatkuasaan dasar itu yang merangkumi semua.

Menteri itu bagaimanpun berkata, pelaksanaan dasar yang dicadangkan itu tidak akan berlaku dalam masa terdekat kerana pihak berkuasa perlu mendapatkan maklum balas terlebih dahulu daripada pihak-pihak yang berkepentingan.

The Safety First Group juga telah berjumpa Baru dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke untuk menggesa pelaksanaan budaya menunggang motosikal yang selamat di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Ia juga telah menggesa kerajaan untuk menguatkuasakan had laju 70km/j untuk ‘kapcai’ atau motosikal berkuasa rendah.

"Buat masa ini, untuk mengenakan peraturan had laju sedemikian terutama bagi penunggang motosikal mungkin belum boleh lagi. Kita perlu menjalankan kajian mendalam memandangkan ini memerlukan pemerhatian yang teliti untuk satu tempoh yang pajang terutama dalam keadaan lalu lintas yang bercampur-campur di lebuh raya dan lebuh raya ekspres selain jalan-jalan di sekitar bandar, pekan kecil dan juga di kawasan luar bandar,” kata Baru.

Penasihat The Safety First Group, Datuk Seri Azman Ujang menyifatkan respons yang menyokong cadangan mengehadkan motosikal kepada lorong kiri sahaja itu sebagai "berita yang amat menggembirakan".

"Meskipun angka mereka yang terbunuh dalam kemalangan motosikal amat membimbangkan, terutama dalam kalangan orang muda saban tahun, tetapi tidak banyak yang telah dilakukan untuk menangani isu yang serius ini," katanya.

Azman berkata sokongan menteri kepada isu ini amat memberi keyakinan memandangkan usaha membendung perangkaan tinggi kematian di jalan raya ini bukanlah sesuatu yang sukar untuk dilaksanakan dan ia “boleh dilakukan”.

Beliau berkata sebagai permulaan para penunggang motosikal sendiri hendaklah mempunyai perasaan ayangkan nyawa sendiri dengan menunggang secara defensif di lorong sebelah kiri dan mengelak daripada mencelah sesuka hati di lorong tengah dan berebut-rebut ruang dengan kereta dan kenderaan-kenderaan berat lain.

"The Safety First Group akan meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang awam mengenai budaya menunggang motosikal dengan selamat untuk menyelamatkan nyawa," tambah beliau.- Bernama