Remaja Ireland hilang: 23 anggota komando sertai misi SAR

Che Zakaria (kanan) pada sidang media di Balai Polis Pantai di sini hari ini.
Che Zakaria (kanan) pada sidang media di Balai Polis Pantai di sini hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Sebanyak 23 anggota Unit Komando (VAT 69) dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta menyertai misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa hilang, Nora Anne Quoirin,15, yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu.

Turut ditambah bantuan keanggotaan melibatkan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dari Cheras, Kuala Lumpur seramai tiga orang.

Timbalan Ketua Polis Negeri, Senior Asisten Komisioner Che Zakaria Othman berkata penyertaan unit baru ini termasuk VAT 69 itu diperlukan berdasarkan kepakaran yang dimiliki mereka.

Katanya, sebanyak dua pegawai dan 21 anggota VAT69 membantu misi SAR, yang memasuki hari ke enam, menjadikan jumlah keseluruhan petugas sebanyak 260 orang daripada pegawai dan anggota dari Unit PDRM serta lain-lain agensi.

"Radius pencarian hari ini adalah seluas enam kilometer daripada lokasi kejadian dan turut melibatkan pencarian melalui udara serta penggunaan dron dan PGU (Pasukan Gerakan Udara).

"Saya berharap dengan penambahan zon pencarian dan keanggotaan ini akan menemui petunjuk baru," katanya pada sidang media di Balai Polis Pantai di sini hari ini.

Dalam pada itu, Che Zakaria turut memberitahu sehingga kini masih tiada lagi petunjuk baharu mengesan jejak Nora Anne.

Katanya, pihaknya masih lagi berusaha mencari dan menjejaki remaja Ireland itu sehingga ke lewat malam tanpa berputus asa.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, pencarian melibatkan semua pihak termasuk orang asli, penduduk tempatan dan masyarakat setempat memberi kerjasama yang sangat baik sejak hari pertama lagi, termasuklah solat hajat yang dilaksanakan selepas solat Jumaat hari ini.

Dalam pada itu, Che Zakaria memberitahu setakat ini pihaknya mendapat kerjasama yang baik dengan keluarga Nora Anne.

"Keluarga ini datang bercuti ke Malaysia pada 2 Ogos tetapi secara berasingan, Nora bersama adik-beradik yang lain datang dari London bersama ayahnya, manakala ibunya datang dari Singapura kerana ada urusan dan mereka bertemu di KLIA selang 30 minit kemudian.

"Siasatan mendalam terhadap pelbagai sudut aspek telah dilakukan termasuk pemeriksaan emel, telefon bimbit dan juga bersama Jabatan Imigresen, namun tiada sebarang maklumat menunjukkan ada pergerakan keluar," katanya.