Singapura rai Hari Kebangsaan ke-54

Ribuan penduduk Singapura menghadiri sambutan Hari Kebangsaan ke-54 di Padang yang bermula petang tadi.
Ribuan penduduk Singapura menghadiri sambutan Hari Kebangsaan ke-54 di Padang yang bermula petang tadi.
A
A
A

SINGAPURA - Singapura meraikan Hari Kebangsaan ke-54 hari ini yang bermula petang tadi dan dihadiri kira-kira 27,000 pengunjung yang turut menyaksikan lautan merah putih memenuhi sekitar Padang.

Acara pada tahun ini agak istimewa memandangkan negara tersebut juga meraikan ulang tahun ke-200 sejak ketibaan Sir Stamford Raffles di Singapura.

Ini adalah pertama kali sambutan Hari Kebangsaan diadakan semula di Padang sejak 2015 yang menjadi sejarah penting negara tersebut.

Sambutan yang dimeriahkan dengan perarakan dan perbarisan tersebut turut dihadiri tetamu khas, Sultan Brunei, Hassanal Bolkiah, Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi dan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ribuan pengunjung lain juga membanjiri kawasan sekitar Marina Bay dan di sepanjang Sungai Singapura untuk menyaksikan persembahan bunga api buat pertama kali untuk meraikan nilai sejarah sungai tersebut.

Semalam, menerusi ucapan khas sempena sambutan Hari Kebangsaan itu, Perdana Menteri, Lee Hsien Loong memaklumkan kerajaan akan terus 'melabur dengan banyak' bagi membolehkan setiap rakyat di negara itu mencapai potensi mereka.

"Dengan cara terus melabur dalam masyarakat, ia membolehkan setiap individu mengambil peluang baru di setiap peringkat. Ini adalah usaha bersama.

"Kerajaan akan terus membantu setiap rakyat untuk mencapai potensi anda dan menyumbang secara terbaik kepada Singapura. Setiap individu mesti berusaha untuk memperbaiki diri, melakukan yang terbaik untuk mengejar impian masing-masing," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Selaras dengan sambutan ke-200 tahun, Hsien Loong turut menggesa seluruh rakyat Singapura supaya berdiri tegas sebagai Generasi Perintis yang mengasaskan negara dan bersatu sebagai Generasi Merdeka yang membawa Singapura daripada dunia ketiga kepada yang pertama.

"Marilah kita terus bekerjasama sebagai rakyat bersatu dan berkembang maju dalam keadaan dunia tidak menentu, mencabar diri kita untuk menerokai perkara baharu dan mengikat hati serta jiwa kepada Singapura serta masa depannya," menurut beliau lagi. - Agensi