Jadual kerja padat, Alyah tangguh rawatan IVF

No Image Caption
A
A
A

PENYANYI Datin Alyah mendedahkan terpaksa menangguhkan seketika hasratnya untuk mendapatkan rawatan kesuburan In Vitro Fertilization (IVF) kerana sibuk dengan aktiviti seni selain pelbagai komitmen yang menantinya pada tahun ini.

Menurut Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan, 38, pada tahun depan dia telah merancang pelbagai aktiviti bersempena ulang tahun ke-20 pembabitannya dalam dunia seni.

“Memang sebelum ini saya berhasrat untuk menjalani rawatan IVF, tapi keadaan belum mengizinkan lagi dan terpaksa ditangguhkan kerana jadual kerja agak padat.

No Image Caption

“Apatah lagi pada tahun depan saya merancang untuk mengadakan konsert atau showcase sempena meraikan 20 tahun penglibatan saya dalam dunia seni.

“Jadi dengan kesibukan itu, saya kira tentunya tidak sesuai untuk menjalani rawatan tersebut yang memerlukan saya mendapatkan rehat yang cukup selain penjagaan diri yang rapi selama beberapa bulan,” luah Alyah.

Bagaimanapun, penyanyi yang baru sahaja tampil dengan single Meluruh ini tidak menolak kemungkinan untuk meneruskan rawatan tersebut selepas semua perancangan selesai.

“Saya bersama dengan label Warner Music selama tiga tahun sehingga 2021. Insya-ALLAH selepas selesai semuanya, barulah saya akan fikirkan tentang usaha untuk mendapatkan cahaya mata.

Artikel Berkaitan:

“Apa pun kita tidak tahu bagaimana perancangan Allah. Mungkin tiba-tiba ada rezeki anak dalam tempoh itu, siapa tahu kan,” ujarnya.

Alyah mendirikan rumah tangga bersama pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS, 60, pada Mac 2013 dan belum dikurniakan cahaya mata.