Cari alternatif bantu penjaja jalanan

Antara penjaja di lampu isyarat yang sebelum ini aktif bergerak di Kuala Terengganu.
Antara penjaja di lampu isyarat yang sebelum ini aktif bergerak di Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu perlu mencari alternatif membantu penjaja jalanan dan bukan hanya sekadar menguatkuasakan undang-undang.

Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Hisham Wan Salleh berkata, langkah itu perlu bagi membela nasib rakyat dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu.

Menurutnya, dalam keadaan harga barang keperluan meningkat, ada dalam kalangan mereka terpaksa buat dua tiga kerja demi menanggung keluarga serta membiayai pendidikan anak-anak.

"Saya yakin kerajaan Terengganu amat prihatin dengan nasib golongan ini dan dalam masa yang sama mahu menjaga keselamatan rakyat.

"Cari lah penyelesaian terbaik. Penguatkuasaan undang-undang tanpa memberi alternatif bukan jalan yang terbaik," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Wan Hisham menyifatkan penjaja jalanan sebagai kumpulan yang kreatif dan pandai mengambil peluang.

"Kemampuan mereka bertahan selama beberapa bulan jelas menunjukkan memang ada permintaan terhadap perkhidmatan mereka.

"Mereka adalah kumpulan yang jujur dalam mencari sesuap makan. Tidak ramai yang sanggup bertahan hujan dan panas serta memperjudikan keselamatan demi mencari rezeki yang halal.

Artikel Berkaitan:

"Mereka juga tidak memilih bergantung harap kepada kerajaan untuk menanggung mereka," katanya.

Dalam perkembangan sama, Wan Hisham berkata, peraturan dan undang-undang yang dibuat perlu berubah mengikut peredaran masa.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu, Muammar Qaddafi Mohd Nasir meminta kerajaan negeri memberikan tempoh sekurang-kurangnya sebulan sebelum menguatkuasa larangan penjaja jalanan di persimpangan lampu isyarat.

Katanya, ia bagi memastikan pengusaha yang terdiri daripada kalangan rakyat tempatan dan anak muda tidak mengalami kerugian.

“Langkah kerajaan negeri melarang penjaja jalanan daripada meneruskan aktiviti jual beli di persimpangan lampu isyarat itu difahami sebagai langkah menguatkuasakan undang-undang.

“Namun, larangan serta-merta dikhuatiri akan menyebabkan pengusaha menanggung kerugian apabila bahan persiapan untuk penjual yang telah disediakan tidak lagi dapat digunakan.

"Sepatutnya satu tempoh sesuai bagi memberi ruang kepada pengusaha untuk mencari alternatif baharu dalam meneruskan aktiviti jualan mereka,” katanya.