Aliran trafik beberapa lebuh raya utama perlahan

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan perlahan setakat 5 petang ini berikutan orang ramai mula pulang ke kampung bersempena cuti sekolah dan sambutan Aidiladha, Ahad ini.

Menurut jurucakap PLUS Malaysia Berhad, aliran trafik perlahan di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) sebelum tol Jalan Duta ke Bukit Lanjan, Shah Alam ke Dataran Prima dan Subang ke Shah Alam.

“Aliran trafik tinggi turut berlaku di kawasan Rawang Selatan ke Rawang Utara, Slim River ke Sungkai, Tapah ke Gopeng dan Gopeng ke Simpang Pulai.

“Laluan dari Ipoh ke Simpang Pulai perlahan akibat kemalangan di kilometer 281.4 dan lorong kiri terhalang kerana kerja-kerja pengalihan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya aliran trafik di bahagian selatan negara perlahan dari Seremban ke hentian Senawang, hentian Senawang ke Port Dickson, hentian Kulai ke Sedenak, Skudai ke Kulai, Bangunan Sultan Iskandar dan Bangunan Sultan Abu Bakar (Linkedua) dari Singapura menuju Malaysia.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata aliran trafik dilaporkan perlahan dari Plaza Tol Gombak menuju R&R Genting Sempah dan Bukit Tinggi ke Plaza Tol Bentong.

Namun, aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT 2 dilaporkan lancar di kedua-dua arah.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengurus Perniagaan LPT2 Sdn Bhd Roszi Ibrahim berkata pihaknya telah bersedia daripada pelbagai aspek bagi menghadapi pertambahan jumlah kenderaan yang dijangka meningkat 200 peratus setiap hari bermula hari ini, esok (10 Ogos), 12 Ogos dan pada 16, 17 dan 18 Ogos.

Roszi berkata pihaknya menjangkakan pertambahan sehingga 39,000 kenderaan berbanding 13,000 pada hari biasa menjelang Aidiladha yang disambut Ahad ini.

Beliau berkata bagi melancarkan pergerakan kenderaan, jumlah kakitangan di plaza tol serta bilangan pasukan peronda ditambah bagi membantu pengguna yang terkandas di lebuh raya.

"LPT2 turut mendapatkan kerjasama polis dan JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) untuk mengadakan rondaan dan pemantauan di laluan terbabit di samping menggunakan bantuan RELA (Jabatan Sukarelawan Malaysia) untuk membantu pengurusan trafik di plaza tol terpilih," katanya dalam satu kenyataan.

Roszi berkata pemandu yang menghala ke Kota Bharu serta destinasi lain berdekatan digalakkan menggunakan lebuh raya itu memandangkan ia menyediakan laluan dua lorong setiap hala serta kemudahan kawasan Rehat dan Rawat (R&R).

"Pemandu akan berasa selesa dan selamat apabila menggunakan lebuh raya LPT2 untuk ke pelbagai destinasi di Terengganu, Kelantan dan kawasan sekitarnya," katanya.

Pengguna boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi Twitter LPT2trafik dan papan tanda elektronik di sepanjang laluan berkenaan, katanya. -Bernama