Jawatankuasa khas MCPF tangani sindiket 'Macau Scam': Lam Thye

Gambar hiasan. Gambar kecil: Lee Lam Thye
Gambar hiasan. Gambar kecil: Lee Lam Thye
A
A
A

KUCHING - Dalam usaha menangani ‘Macau Scam’ dan mewujudkan kesedaran dalam kalangan orang ramai, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengatasi masalah itu.

Naib Pengerusi Kanan MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, Jawatankuasa Jenayah Siber diketuai oleh Prof Dr Mohamad Fauzan dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan ahli-ahlinya termasuk mereka yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam teknologi maklumat dan komunikasi.

"Kami menyedari bahawa setiap hari rakyat Malaysia ada yang menjadi mangsa ‘Macau Scam’ termasuk pegawai kerajaan dan suri rumah.

"Pelajar dan mereka yang berpendidikan tinggi juga tidak terkecuali walaupun kebanyakan mangsa mereka adalah pesara yang menyimpan wang di bank,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Lam Thye berkata, MCPF memberi perhatian terhadap keupayaan sindiket Macau Scam bergerak cergas menggunakan taktik terbaru dan peralatan terbaru bagi meyakinkan mangsa dengan tipu dayanya.

"Saya sendiri telah membuat laporan polis apabila nama saya digunakan oleh sindiket untuk mendapatkan wang daripada pegawai tertinggi sebuah organisasi bahawa saya adalah pengerusi. Sindiket itu telah menghubungi mangsa dengan menggunakan emel palsu yang serupa dengan saya punya,” katanya.

Lam Thye berkata, beliau diberitahu bahawa sesetengah sindiket berkenaan mempunyai pelatih profesional yang sentiasa memperbaiki taktik mereka agar tidak mudah untuk dikesan atau diketahui penipuan mereka.

"Ini membuktikan bagaimana profesionalnya mereka kerana mereka sentiasa selangkah ke hadapan daripada agensi penguatkuasa,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Lam Thye berkata, Jawatankuasa Jenayah Siber MCPF akan mendapatkan maklumat dan kerjasama daripada polis serta agensi lain yang berkenaan termasuk Cybersecurity Malaysia untuk mencari jalan menangani masalah ini dengan lebih berkesan.

Berdasarkan statistik oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) polis, terdapat 4,500 kes scam menggunakan panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan jumlah kerugian RM113.11 juta pada 2017.

Pengarah CCID Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad berkata, sejak 2015, jabatan berkenaan mencatatkan kira-kira RM2 bilion kerugian yang dialami mangsa jenayah perdagangan termasuk Macau Scam dan pakej pinjaman atau skim pelaburan yang tidak wujud.

Bagi enam bulan pertama tahun ini, jabatan berkenaan menerima 5,069 laporan mengenai jenayah siber membabitkan RM250 juta kerugian kepada golongan penipu berkenaan.

Beliau juga berkata 1,973 individu diberkas kerana terbabit dalam siber scam bagi tempoh yang sama tahun ini.- Bernama