Aksi garang Mercedes C300 Coupe

A
A

Legasi C-Class termaju, punya tarikan kelas tersendiri

MELALUI pengamatan Sinar Turbo, timbul persoalan mengapa sejak dari dulu Mercedes-Benz menjadi pilihan kepada 'tauke-tauke besar' sebagai kenderaan harian mereka?

Barangkali ramai yang beranggapan ia ialah faktor prestij jenama itu sendiri. Pun demikian bagi mereka yang pernah memandu Mercedes-Benz, pasti memahami kenapa kereta buatan Jerman itu istimewa berbanding jenama mewah lain.

LAMPU utama multibeam LED dengan Ultra Range.
LAMPU utama multibeam LED dengan Ultra Range.

Berbicara mengenai sedan segmen C mewah, umum maklum pemain utamanya ialah Mercedes-Benz C-Class dan BMW 3-Series. Sememangnya jumlah jualan kedua-duanya sangat memberangsangkan berbanding pesaing lain.

Akan tetapi, jika diperhalusi, BMW tampaknya lebih menumpukan pada aspek kesenangan memandu (sheer driving pleasure). Sementara itu, Mercedes-Benz sentiasa unggul dalam memberikan pengalaman premium di dalam kabin.

Menatap Mercedes-Benz, pengguna bukan sahaja akan berasa aura kemewahan pada setiap pandangan malah, sentuhan pada material komponen-komponen dalam ruang dalaman, malah enjin, kotak gear dan suspensinya memberikan rasa keselesaan dalam kelas yang cukup tinggi.

PINTU tidak berbingkai dan cermin sisi free-standing.
PINTU tidak berbingkai dan cermin sisi free-standing.

Mungkin ramai yang beranggapan Mercedes telah berubah setelah rekaan model-model terbaharunya mula menambat hati golongan 'ada-ada' yang lebih muda. Begitupun, sebenarnya karakter asas setiap model tersebut masih kekal dengan 'DNA' jenamanya.

Rekaan sporty

Berkesempatan memandu uji Mercedes C300 Coupe baru-baru ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh penulis untuk mengetahui sejauh mana kemampuan produk berlabel AMG itu.

Sebelum menyentuh dan bercerita mengenai kemampuannya beraksi, ada baiknya kita mengetahui serba sedikit tentang rekaan luaran dan dalamannya yang digambarkan cukup sporty pada pandangan pertama.

C300 Coupe merupakan versi pemasangan tempatan.
C300 Coupe merupakan versi pemasangan tempatan.

Reka bentuk C-Class C300 Coupe tidak banyak berbeza jika dibandingkan dengan C-Class sedan, kecuali di bahagian belakang yang mana model Coupe itu kelihatan lebih bergaya.

Ia juga mempunyai beltline yang rendah, pintu tidak berbingkai sertai cermin sisi free-standing. Kesemua elemen itu dipadankan dengan suspensi 15 milimeter (mm) lebih rendah dan rim AMG bersaiz 19 inci.

Di bahagian luaran, model itu tentunya diberikan rupa yang garang menerusi kelengkapan penggayaan AMG yang terdiri daripada gril, apron dan lips spoiler hadapan, bampar belakang dengan liang udara sisi. Set rim asli AMG dua tona lima jejari berkembar berdiameter 19 inci dibaluti tayar 255/35R19 melengkapkan penampilannya.

BUMBUNG panorama dilengkapi dengan pelindung matahari.
BUMBUNG panorama dilengkapi dengan pelindung matahari.

C 300 Coupe didatangkan dengan kapasiti enjin lebih besar iaitu 2.0 liter twin-scroll turbo. Ia mampu menghasilkan 255 kuasa kuda (hp) (258 PS), pada tahap had putaran enjin (rpm) yang sama dengan enjin 1.5 liter yang bersamaan dengan peningkatan sebanyak 14hp berbanding enjin M274 yang digunakan pada model facelift sebelum itu (241hp).

Tork untuk model C300 masih tidak berubah iaitu 370 meter Newton (Nm), tetapi ia sampai di puncak bermula dari 1,800rpm, berbanding 1,300rpm bagi enjin M274 (hingga 4,000rpm).

Seperti model-model Mercedes-Benz yang lain, bahagian kabin C300 Coupe dilengkapi ciri-ciri sporty yang diadun dengan material eksklusif seperti kulit dan microfibre. Selain itu, terdapat juga roda stereng pelbagai fungsi, pedal AMG dan kemasan aluminium pada papan pemuka.

Prestasi pemanduan berbeza

Ketika mengendalikan kenderaan serba hebat itu, penulis dapat rasakan pecutan berkuasa dengan gandingan kawalan mantap C300 sekali gus menjadikan jentera itu sesuai untuk pemanduan agresif.

Seperkara, penulis seronok memandu ketika mengharungi laluan berselekoh. Terasa penghantaran kuasanya yang cukup sempurna.

Mengambil kira lokasi perjalanan menuju ke Port Dickson, Negeri Sembilan dan kemudiannya berpatah balik ke Shah Alam, Selangor sememangnya tidak dirasai dengan pemanduan Mercedes-Benz C300 Coupe yang sememangnya kurang meletihkan.

Apa yang membuatkan penulis benar-benar sukakan pada penghantaran kuasa jentera itu ialah sifatnya yang tidak 'melebih-lebih'.

RUANG kabin yang luas dan kemas menampilkan ciri-ciri mewah.
RUANG kabin yang luas dan kemas menampilkan ciri-ciri mewah.

Ia cukup 'buas' tetapi tidak menyebabkan pemandu berasa khuatir setiap kali letusan boost turbo diberikan.

Berlawanan dengan boost pada hot-hatch AMG A45, yang mana pada penulis, pemandu ‘berhati kering’ sahaja yang berani memandunya dengan sepenuh daya di jalan raya awam.

Penulis juga sangat sukakan mod transmisi manual kotak gear sembilan-kelajuan pada kereta tersebut. Mod itu berfungsi secara manual hampir sepenuhnya.

Tidak seperti sesetengah kereta yang akan 'menaikkan' gear sendiri sekiranya jarum rpm mencecah garisan merah.

Jangan terlalu bimbang apabila rpm hampir mencecah kemuncak dan memerlukan penukaran gear, shift light pada skrin paparan instrumen akan memaklumkan pemandu.

RUANG penumpang bahagian belakang.
RUANG penumpang bahagian belakang.

Perlu diingatkan, walaupun gear tidak bertukar sendiri, enjin akan cut-off sekiranya mencecah putaran pada tahap bahaya.

Memandu kereta yang memiliki sistem keselamatan pintar dibantu oleh sistem komputer dengan sensor yang terletak pada cermin hadapan dan kamera kecil yang dipadankan di bahagian atas logo besar gril hadapan, banyak kelebihannya.

Penulis merasai sendiri peranannya apabila C300 menekan brek secara automatik atau mengejut ketika mengundur keluar dari parkir dengan bantuan Adaptive Brake (ABA).

Responsif

C300 turut dipadankan dengan sistem transmisi automatik sembilan kelajuan 9G-Tronic yang menukar gear secara responsif dan lancar.

Jentera tersebut mampu menghasilkan pecutan sifar hingga 100 kilometer per jam (km/j) dalam masa enam saat iaitu perlahan sedikit berbanding C300 Sedan (5.9 saat), manakala laju maksimum pula adalah 250km/j.

Pada masa sama, ia mampu menjimatkan tahap penggunaan bahan api selain mengurangkan bunyi enjin.

Lima mod pemanduan disediakan iaitu Comfort, Eco, Sport, Sport Plus dan Individual yang akan melaraskan semula respons enjin, transmisi dan stereng.

Keupayaan sebenar C300 dapat penulis rasakan ketika menukar mod kepada Sport. Karakter sebenar ‘aksi garang’ kereta terserlah menerusi tukaran gear yang pantas walaupun dengan hanya menekan sedikit pedal minyak.

BUTANG di stereng pelbagai fungsi yang memudahkan pemandu.
BUTANG di stereng pelbagai fungsi yang memudahkan pemandu.

Penggunaan gear pada mod Sport dan Sport Plus cukup sesuai ketika kereta dipandu laju di lebuh raya. Pedal shift tukaran gear sembilan kelajuan pada stereng kereta juga boleh menjadi pilihan pemandu.

Jujur dikatakan, persepsi penulis saat mula-mula menerima kunci kereta itu adalah dengan anggapan ia sama seperti adik-beradik AMG yang lain iaitu 'kereta yang diberikan kuasa enjin tahap tak patut'.

Barangkali sehinggakan ada yang takut untuk memandunya sepenuh hati di jalan raya biasa dan menyangkakan perlu memandu di litar sebenar untuk merasai kesemua potensinya.

Pun demikian, setelah mengenal 'hati budi' Mercedes-Benz C300 Coupe, jelas ia adalah model AMG paling penulis suka setakat ini. Konsepnya bersahaja, bukan sahaja dari segi penghasilan kuasa, malah praktikal sebagai sebuah sedan keluarga bagi digunakan sebagai kenderaan harian.

Pengguna juga mungkin melihat model seperti C300 Coupe sebagai sebuah model sport.

Pun begitu, bagi penulis, penghantaran kuasa pada model 'seksi' dua pintu tersebut masih lagi jinak dan tidak cukup agresif, walaupun hanya dibandingkan dengan sedan keluarga empat pintu Volvo S60 T6.

Secara keseluruhan, jentera itu seharusnya ada dalam senarai sekiranya mahu memiliki jentera berprestasi dengan bentuk Coupe, tetapi pada masa sama sesuai untuk pemanduan harian.

SPESIFIKASI

Mercedes C300

CoupeEnjin: 2.0 liter twin-scroll turbo

Kapasiti: 1.991cc

Kuasa: 255 HP @ 5,800rpm

Tork: 273Lb.ft @ 1.800-2.500rpm

Transmisi: 9G-Tronic

Ciri-ciri keselamatan: 7 beg udara, ABS dengan EBD, Attention Assist, Collision Prevention Assist Plus dan Adaptive Brake Assist

Harga: RM416,888


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia