Polis tingkat keselamatan program Dr Zakir Naik malam ini

No Image Caption
A
A
A

KOTA BHARU - Polis meningkatkan tahap keselamatan bagi memastikan program Pidato Perdana Perpaduan Ummah bersama pendakwah terkemuka dunia, Dr Zakir Naik di Stadium Sultan Muhammad IV di sini malam ini berjalan lancar.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, pihaknya sudah membuat persiapan rapi dari awal lagi sepanjang program anjuran kerajaan negeri itu berlangsung.

"Polis Daerah Kota Bharu sentiasa mengawasi dan membuat kawalan keselamatan dari segala aspek dan berusaha menjamin keselamatan penceramah dan juga orang ramai.

"Untuk malam ni kita meningkatkan lagi tahap keselamatan kerana melibatkan jumlah audien yang ramai dan pengunjung perlu mematuhi arahan pihak polis yang bertugas bagi memastikan keselamatan semua pihak dan program ini berjalan dengan lancar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Dr Zakir berada di Kelantan di atas jemputan khas Kerajaan Negeri Kelantan sempena program Jelajah Dakwah 2019 yang bermula pada 7 hingga 10 Ogos.

Pelbagai atur cara disediakan untuk beliau bertemu dan berkongsi ilmu dengan pegawai kerajaan, pelajar dan rakyat Kelantan kali ini.

Malam ini adalah program kemuncak Dr Zakir Naik yang dijadualkan bersama rakyat di Stadium Sultan Muhammad IV untuk program Pidato Perdana Perpaduan Ummah yang menyasarkan kehadiran 100,000 orang pengunjung.

Program itu dijangka bermula jam 5 petang hingga 11.45 malam dan acara termasuk solat berjemaah, persembahan nasyid, santai bersama PU Azman dan PU Amin, kuliah Maghrib oleh Ustaz Azhar Idrus dan sebelum diakhiri dengan pidato Dr Zakir Naik.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemimpin lebih patuh kepada parti daripada ALLAH: Dr Zakir

Artikel Berkaitan: