Pakistan henti tayang filem Bollywood

Poster bintang Bollywood dijual di sepanjang kaki lima di Karachi, Pakistan.
Poster bintang Bollywood dijual di sepanjang kaki lima di Karachi, Pakistan.
A
A
A

ISLAMABAD - Pakistan bertindak mengharamkan filem dari India susulan ketegangan yang semakin memuncak antara dua negara itu di wilayah Kashmir.

Langkah itu juga sebagai tekanan diplomatik ke atas New Delhi kerana menarik balik status separuh autonomi selama tujuh dekad yang diberikan kepada wilayah di pergunungan Himalaya itu menerusi dekri Presiden.

Filem Bollywood yang kebiasaannya berdurasi selama tiga jam amat popular dalam kalangan rakyat Pakistan.

Ini bukan kali pertama arahan seumpama itu dikeluarkan kerana beberapa tahun kebelakangan ini arahan sama pernah dikuatkuasakan setiap kali berlakunya konfrontasi di kawasan Garisan Kawalan (LoC), iaitu sempadan de facto yang memisahkan Kashmir.

Pada masa sama, Pakistan turut menghentikan perkhidmatan kereta api ke India.

Semalam, Islamabad telah menutup tiga daripada sembilan laluan udara untuk syarikat penerbangan India.

Langkah itu kali kedua tahun ini menjejaskan penerbangan nasional Air India ke Eropah, Amerika Syarikat dan Timur Tengah.

Ia menyusul sehari selepas Pakistan mengumumkan ia mengusir Pesuruhjaya Tinggi India dan menggantung perdagangan kedua-dua negara.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi minggu ini menarik balik hak Jammu dan Kashmir yang majoriti Islam untuk merangka undang-undangnya sendiri serta membenarkan orang luar membeli hartanah di sana dalam cubaan mengukuhkan cengkaman di rantau berkenaan.

Pemimpin Kashmir memberi amaran untuk menentang tindakan India manakala Pakistan yang turut menuntut wilayah itu berikrar memperjuangkan hak penduduk yang tinggal di sana.

India berkata, menukar status Kashmir adalah isu dalaman negara itu dan menyasar membangunkan rantau berkenaan.

Ia menggesa Pakistan menimbang semula keputusan menurunkan hubungan diplomatik.

Kashmir terpecah antara Pakistan dan India sejak tamatnya pemerintahan koloni British pada 1947.

Kedua-dua negara kuasa nuklear itu berjuang mendapatkan kawalan penuh wilayah tersebut dan telah dua kali berperang. - AFP