Kereta nasional baharu masuki pasaran pada Mac 2021

Darell Leiking (dua dari kanan) pada Majlis Pengumuman Kereta Nasional Baharu di Cyberjaya hari ini.
Darell Leiking (dua dari kanan) pada Majlis Pengumuman Kereta Nasional Baharu di Cyberjaya hari ini.
A
A
A
[DIKEMASKINI] KERETA nasional baharu dijangka berada di pasaran pada Mac 2021.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking berkata, bagaimanapun prototaip model pertama akan diperkenalkan pada Mac 2020.

Menurut beliau, pembangunan kereta nasional baharu yang dilengkapi dengan teknologi terkini itu akan diterajui oleh syarikat penyedia teknologi inovatif dan penyelesaian tempatan, DreamEDGE Sdn Bhd.

"DreamEDGE dipilih kerana syarikat berkenaan mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam pelbagai projek berkaitan robotik, internet benda (IoT) dan rekaan automotif.

"Untuk projek ini, DreamEDGE akan bekerjasama dengan syarikat dari Jepun, Daihatsu Motor Company yang akan memberi sokongan dari segi pembangunan teknologi," katanya dalam sidang media Pengumuman Kereta Nasional Baharu di Cyberjaya hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif DreamEDGE, Khairil Adri Adnan.

Beliau berkata, kereta nasional baharu itu akan direka dan dibangunkan sepenuhnya oleh para jurutera tempatan.

"Bagi memacu industri automotif negara kerajaan akan memberi segala bentuk sokongan terhadap projek ini seiring dengan agenda pembangunan kereta nasional baharu ini.

"Dari segi pembiayaan pula, projek ini akan dibiayai swasta sepenuhnya tetapi syarikat layak untuk memohon geran daripada kerajaan," katanya.
Artikel Berkaitan:


Sementara itu, ketika diajukan soalan kepada Khairil Adri mengenai jumlah pelaburan bagi projek itu, beliau enggan mendedahkannya.

Bagaimanapun, beliau mengakui projek itu melibatkan pelaburan ratusan juta ringgit.

"Masih banyak perkara dalam perbincangan dengan pihak terbabit dan akan dimaklumkan kemudian," katanya.

Tambahnya, untuk pengeluaran prototaip pertama kereta nasional baharu itu pihaknya akan mengeluarkan model sedan.

"Bagaimanapun, nama untuk jenama itu masih belum diputuskan lagi," katanya.