Bicara kes pengubahan wang haram Riza Aziz 6 Januari depan

1MDB. Gambar kecil: Riza
1MDB. Gambar kecil: Riza
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes Riza Shahriz Abdul Aziz, anak tiri kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah US$248 juta (RM1.25 bilion), hasil daripada penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan bermula pada 6 Januari depan dengan memanggil kurang daripada 10 saksi pendakwaan.

Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob menetapkan lapan hari sehingga 9 Januari dan 13 hingga 16 Januari 2020 untuk perbicaraan selepas bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengetuai pasukan pendakwaan memaklumkan bahawa pihaknya tidak berhasrat untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Perkara itu tidak dibantah peguam Datuk Hariharan Tara Singh, yang mewakili Riza dan kemudiannya memberitahu mahkamah bahawa pihak pembelaan juga tidak berhasrat dan tidak menerima sebarang arahan untuk memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi.

Sri Ram turut memaklumkan kepada mahkamah kurang daripada 10 saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes berkenaan termasuk seorang saksi dari Singapura.

"Pihak pendakwaan juga menyerahkan sebahagian daripada dokumen berhubung kes itu kepada pihak pembelaan hari ini, mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.

"Sebahagian dokumen dari Amerika Syarikat (AS) masih belum diterima oleh pendakwaan," katanya.

Mahkamah turut menetapkan 20 September ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib ketika ditemui media selepas prosiding berkata, bahawa dokumen yang diserahkan kepada pembelaan membabitkan beberapa penyata akaun dari Switzerland dan Singapura.

Artikel Berkaitan:

Pada 5 Julai lalu, Riza, 42, pemilik syarikat Red Granite Pictures, mengaku tidak bersalah atas kelima-lima pertuduhan itu.

Bagi pertuduhan pertama, penerbit filem Wolf of The Wall Street itu didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah US$1.173,104 melalui satu transaksi pemindahan wang daripada akaun bernombor 11116073 milik Good Star Limited di RBS Coutts, Zurich, Switzerland ke akaun City National Bank, Los Angeles, AS bernombor 123248291 milik Red Granite Productions Inc.

Wang berkenaan didakwa hasil daripada penyelewengan ke atas dana 1MDB.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 April dan 12 Mei 2011 di City National Bank, Los Angeles Main, 525 South Flower Street, Los Angeles, California, AS.

Riza, yang juga anak Rosmah hasil perkahwinan terdahulu, dituduh melakukan kesalahan sama melibatkan US$9 juta melalui transaksi pemindahan wang dari akaun serupa pada 10 September 2012 dan 10 Oktober 2012 di tempat sama.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa melakukan perbuatan sama berjumlah US$133 juta dan US$60 juta melalui satu transaksi pemindahan wang daripada akaun bernombor 81134378 milik Aabar Investment PJS Limited di BSI SA, Lugano, Switzerland ke akaun BSI Bank Limited Singapura bernombor 6C02250A milik Red Granite Capital Ltd.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di BSI Ltd, 7 Temasek Boulevard, #32-01 Suntec Tower One, Singapura pada 18 Jun 2012 dan 23 Oktober 2012.

Mengikut pertuduhan kelima tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama berjumlah US$45 juta di tempat sama pada 14 November 2012.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Bernama