MyDIA sokong Terengganu larang berniaga di simpang lampu isyarat

Larangan dan penguatkuasaan sangat wajar untuk menghalang aktiviti perniagaan ini daripada terus berleluasa. (Gambar kecil, Tengku Ahmad Marwan)
Larangan dan penguatkuasaan sangat wajar untuk menghalang aktiviti perniagaan ini daripada terus berleluasa. (Gambar kecil, Tengku Ahmad Marwan)
A
A
A

MARANG - Malaysia Driving Instructors Association (MyDIA) menyokong keputusan kerajaan Terengganu mengeluarkan larangan berniaga di persimpangan lampu isyarat berkuat kuasa serta-merta di negeri itu.

Penasihatnya, Tengku Ahmad Marwan Tengku Mahmud berkata, langkah itu wajar dilaksanakan bagi mencegah berlakunya kemalangan dan kecederaan.

Menurutnya, pemandu dan penunggang perlu sentiasa peka dengan keadaan sekeliling walaupun sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat, namun aktiviti itu mengganggu tumpuan pengguna jalan raya.

"Penjual atau peniaga jalanan ini juga berisiko dilanggar kenderaan terutama motosikal yang mencelah antara kenderaan ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat. Keadaan ini mampu berlaku.

"Di samping itu, kehadiran peniaga jalanan ini juga boleh mewujudkan situasi yang menimbulkan stres kepada pemandu lain yang tidak berurusan dengan peniaga sebab gangguan kelancaran trafik," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Semalam, kerajaan negeri mengeluarkan arahan kepada semua peniaga jalanan di persimpangan lampu isyarat di negeri itu agar menghentikan operasi jualan mereka berkuatkuasa dengan serta-merta.

Perkara itu dinyatakan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman dalam sidang media di Wisma Darul Iman.

Beliau menegaskan, ia menyalahi undang-undang iaitu Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan LN 166/ 59 dan juga bercanggah dengan Akta Kerajaan Tempatan 1975, Undang-Undang Kecil Penjaja.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Tengku Marwan berkata, penguatkuasaan itu sangat wajar dan tepat pada masa untuk menghalang aktiviti perniagaan membabitkan peniaga jalanan daripada terus berleluasa.