Rundingan damai jalan terbaik India, Pakistan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut melahirkan rasa kebimbangan mengenai perkembangan di Jammu dan Kashmir seperti kenyataan dikeluarkan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Menurutnya, dengan pemansuhan Perkara 370 Perlembagaan India, semua pihak yang berkaitan dan berkepentingan bertanggungjawab sepenuhnya untuk kekal tenang dan menahan diri bagi mengelakkan ketegangan berlaku.

"Kedua-dua negara India dan Pakistan harus bertanggungjawab untuk berusaha meneruskan dialog dan rundingan damai dalam mematuhi semua resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) berkaitan.

"Apa-apa kemerosotan yang berterusan dalam aspek sosial, ekonomi dan pembangunan Jammu dan Kashmir adalah penghinaan kepada aspirasi, martabat dan hak asasi manusia," katanya dalam satu kenyataan.

Reezal Merican berkata, krisis itu turut membahayakan keamanan, kestabilan dan kemakmuran keseluruhan rantau ini.

Terdahulu, Malaysia menaruh harapan tinggi agar India dan Pakistan dapat menahan diri bagi mengelak meningkatnya ketegangan yang boleh merosakkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau berkenaan.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, Malaysia sentiasa percaya bahawa dialog dan perundingan adalah jalan terbaik ke arah penyelesaian yang baik dan aman kepada isu berpanjangan itu.

Artikel Berkaitan: