Sukarelawan jumpa risalah agama Kristian dalam masjid

Sebahagian risalah dipercayai ajaran agama Kristian yang diletakkan di Masjid Selat, Banda Hilir. (Gambar kecil, Md Azhan)
Sebahagian risalah dipercayai ajaran agama Kristian yang diletakkan di Masjid Selat, Banda Hilir. (Gambar kecil, Md Azhan)
A
A
A

MELAKA TENGAH - Seorang sukarelawan 'street dakwah' menemui kira-kira 30 keping risalah dipercayai ajaran agama Kristian diletakkan di Masjid Selat, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, sukarelawan berkenaan mendapati risalah berwarna dan penuh dengan lakaran animasi kartun diletakkan di bahagian rak risalah masjid sebelum memaklumkan kepada pihak pengurusan masjid tersebut.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Md Azhan Samat berkata, ini merupakan kes pertama yang berlaku melibatkan masjid berkenaan dan insiden pertama dalam tahun ini justeru pihaknya mengambil serius mengenai insiden tersebut.

Menurutnya, laporan polis juga telah dibuat oleh imam masjid dan pihaknya juga menyerahkan perkara berkenaan kepada polis untuk siasatan lanjut.

"Kita harap pelaku dapat diberkas. Kesalahan ini boleh diambil tindakan di bawah Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam kepada orang Islam 1988.

"Saya menyeru masyarakat bersama menjaga perpaduan sesama kita dan janganlah memainkan isu sensitif seperti ini.

"Kita tak mahu jika hal sebegini tidak dijaga, dikhuatiri akan menimbulkan perkara tidak diingini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan kira-kira jam 11 pagi semalam dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain Azhan berkata, sehingga hari ini pihaknya belum memuktamadkan individu yang akan mengisi jawatan Penolong Pengarah Penguatkuasaan JAIM yang akan dikosongkan oleh Datuk Rahimin Bani pada 31 Ogos ini.

"Setakat ini pengganti belum ada secara rasmi namun saya pasti ia dah ada dan saya masih berurusan dengan bahagian Sumber Manusia Jabatan Ketua Menteri Melaka bagi pegawai yang akan mengisi kekosongan itu.

"Setakat ini saya tidak boleh ulas nama dan sebagainya, mungkin melibatkan pegawai agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau di peringkat kita negeri Melaka kerana proses itu banyak," katanya.