Krisis Anwar-Azmin tidak sampai pecah-belahkan parti

Baru Bian - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
Baru Bian - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian percaya kemelut yang berlaku dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) terutama melibatkan krisis antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali baru-baru ini tidak sampai ke tahap untuk memecahbelahkan parti.

Menurutnya, apa yang berlaku kepada PKR sekarang adalah politik kotor yang sudah terjadi sejak 21 tahun lalu dan beliau hairan kenapa ia masih dibangkitkan lagi.

“Saya berpendapat rakyat sudah matang dan 'fed up' dengan politik kotor. Walaupun hal ini berlaku dalam parti saya sendiri, saya yakin pemimpin yang kita ada iaitu Anwar dan Mohamed Azmin telah dipilih anggota parti.

“Mereka berkemampuan dan sudah diberi kepercayaan untuk menerajui hala tuju rakyat,” katanya yang yakin kedua-dua pemimpin tersebut dapat menyatukan parti PKR yang disifatkan sebagai parti berwarna-warni untuk terus bergerak ke depan.

Katanya, apa yang penting sekarang rakyat mahu melihat bagaimana kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir urus kerajaan serta ekonomi negara.

“Dua perkara ini perlu diutamakan dan saya juga percaya pemimpin adalah satu faktor yang dapat memperkukuh parti.

"Dalam keadaan ini (krisis Anwar-Azmin) saya percaya kedua-dua pemimpin itu sudah buat langkah positif untuk bersama-sama mengatasi cabaran yang berlaku,” katanya

Artikel Berkaitan: