Kajian hapus tol dibentang di Kabinet

Gambar hiasan. (Baru Bian - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR)
Gambar hiasan. (Baru Bian - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR)
A
A
A

SHAH ALAM - Kajian holistik berhubung cadangan penghapusan tol akan diserahkan kepada Kabinet ​dalam masa terdekat ​dan ​ia ​dijangka dibentangkan dalam tempoh seminggu dua lagi​ pada Ogos ini.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, pihaknya diberi mandat serta tanggungjawab pada Januari lalu untuk melakukan kajian itu bagi melihat kebaikan serta keburukan cadangan penghapusan tol tersebut.

Menurutnya, kajian yang dipertanggungjawabkan kepada agensi perunding bebas yang dilantik sudah siap dan diserahkan kepada pihaknya.

“​Setelah meneliti dapatan kajian, saya dapati ia sangat lengkap, sempurna dan adil kerana mengambil kira semua pihak terlibat​ termasuk impak kepada kerajaan, pengguna serta pemegang konsesi.​

“Saya tak boleh kongsi di sini kerana ia ​(hasil kajian) 'premature' tapi​ akan serah kepada Kabinet dan mungkin dibentangkan dalam satu atau dua minggu lagi ​pada bulan Ogos ini,” katanya pada program Bicara Minda Sinar Harian di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf di sini​ semalam.

Baru Bian - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
Baru Bian - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR

Bagaimanapun, Baru yang menyedari perkara itu amat sensitif dan sangat penting buat rakyat menyerahkan kepada Kabinet untuk memberi kata muktamad serta hanya menunggu keputusan jemaah menteri.

Baru juga optimis projek Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak mampu disiapkan pada Jun 2021, namun beliau berpendapat projek sama di Sabah mungkin siap sedikit lewat.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sehingga kini projek di Sarawak sudah berjalan melebihi 40 peratus, namun di Sabah baru melebihi 10 peratus.

“Bagi Sarawak, projek ini dijangka siap sepenuhnya pada Jun 2021 dan bagi Sabah, mungkin lambat sedikit. Itu tempoh masa buat masa sekarang tapi kita harap ia dipercepatkan dan kita harap tiada kelambatan dalam projek ini.

“Sekarang ini saya difahamkan di Sabah, projek masih berjalan tapi daripada 30 pakej dirancang, kita akan terus dengan 15 pakej. Di Sarawak, statusnya saya difahamkan berjalan lancar, perkembangan projek lebih 40 peratus namun di Sabah hanya lebih 10 peratus,” katanya.

Baru Bian - Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR
Baru Bian - Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR

Beliau turut memberi jaminan projek tersebut akan diteruskan kerana ia memberi banyak manfaat kepada rakyat kedua-dua negeri tersebut.

“Kita harap ini akan diteruskan. Ramai orang risau adakah projek besar ini akan diteruskan. Mesej saya kepada saudara di Sabah supaya jangan risau, projek ini akan diteruskan, sama juga di Sarawak kerana ini akan menarik banyak manfaat kepada penduduk kedua-dua negeri.

“Kita ada rancangan untuk menghubungkan kawasan di Sabah dan Sarawak, bukan melalui Brunei kerana kita ada Fasa Dua. Kita akan memulakan satu lagi sambungan yang saya fikir akan menarik ramai pelancong.

“Ini kerana ia akan merentasi tiga pergunungan yang tertinggi di Sarawak. Bagi saya dalam dua ke tiga tahun akan datang, industri pelancongan akan berkembang.

Projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak merupakan satu projek yang sangat besar. Saya percaya ia adalah projek yang akan memberi manfaat kepada penduduk Sabah dan Sarawak,” katanya.