Piala Malaysia: Kedah perlu tumpu perlawanan seterusnya


Pemain Terengganu FC KipreTchetche menjaringkan dua gol untuk Pasukan Terengganu menewaskan pasukan Kedah dengan jaringan 2-0 pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Darul Aman hari ini. - Foto Bernama
Pemain Terengganu FC KipreTchetche menjaringkan dua gol untuk Pasukan Terengganu menewaskan pasukan Kedah dengan jaringan 2-0 pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Darul Aman hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah perlu melupakan kekalahan kepada Terengganu FC (TFC) dalam perlawanan malam tadi dan fokus kepada perlawanan seterusnya bertemu PKNS FC jika mahu terus beraksi dalam saingan Piala Malaysia.

Perkara itu disuarakan pengendali skuad Lang Merah, Aidil Sharin Sahak selepas menyaksikan anak buahnya tewas 0-2 kepada TFC di laman sendiri di Stadium Darul Aman di sini ketika saingan Kumpulan A itu.

Menurutnya, para pemainnya menunjukkan persembahan yang baik dengan mencipta banyak peluang, namun nasib tidak menyebelahi mereka apabila kesemua cubaan gagal disempurnakan.

“Sebenarnya pasukan kami mendapat banyak peluang terutama pada separuh masa kedua, tetapi itulah bola sepak. Pertama kali kami kalah di Darul Aman sedangkan lebih 10 peluang kami dapat dan satu pun tidak masuk gol.

“Nasib tidak menyebelahi kami walaupun pemain memberikan 100 peratus tumpuan dalam perlawananan ini,” katanya yang ditemui selepas tamat perlawanan itu malam tadi.

Dalam aksi tersebut, dua gol jaringan pemain import TFC, Tchetche Hermann Brice Kipre pada minit ke-66 dan 85 menghampakan pasukan tuan rumah.

Bagaimanapun, Aidil Sharin menyangkal kekalahan itu disebabkan faktor keletihan dan menjelaskan bahawa pasukannya yang menjulang trofi Piala FA baru-baru ini berada dalam momentum terbaik.

“Pemain sudah buat segalanya, saya tidak tahu apa faktornya yang menyebabkan kami kalah, namun kami akan membuat penilaian dan perbaiki kelemahan yang ada,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ketua jurulatih TFC, Mohd Nafuzi Muhammad Zain berkata, kemenangan pasukannya ke atas Kedah di tempat lawan sememangnya sukar dilakukan terutama apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada babak kedua.

Menurutnya, pemain menunjukkan komitmen dan disiplin tinggi dalam perlawanan itu yang akhirnya menyebabkan tuah memihak kepada mereka.

“Kemenangan ini memberi suntikan semangat dan moral kepada pasukan bagi menghadapi perlawanan akan datang, saya bangga dengan semua pemain,” katanya. - Bernama